Sunday, 30 December 2012

BUNNY JOURNAL GATHERING 2012



Sebuah bunny gathering telah dianjurkan oleh Bunny Journal (Facebook) pada Sabtu, 29 December 2012 yang lepas. Buat julung kalinya sayasukaarnab berkesempatan untuk menyertai gathering tersebut.


Pelbagai aktiviti dianjurkan untuk pemilik arnab dan juga arnab-arnab yang dibawa. Antaranya ialah Bunny Fancy Contest, Cabutan Bertuah, Teka Suku Kata, Telefon Rosak, Tiup Belon Terbesar dan pelbagai lagi. Sayasukaarnab tidak terkecuali menyertai aktiviti tersebut. Oleh kerana arnab lain masih dalam kuarantin (molting, bunting, beranak dan masih menyusukan kits), sayasukaarnab hanya membawa Tyra (REW Teddy Bear) bersama untuk menyertai Bunny Fancy Contest. Sayasukaarnab turut menyediakan sepersalinan wedding gown untuk Tyra bagi pertandingan tersebut. Tetapi ketika pertandingan berlangsung, hanya beberapa ekor arnab sahaja yang memperagakan busana, selebihnya tanpa busana. Segan pula kerana Tyra nampak terlebih sudah! Haha. So sayasukaarnab hanya letakkan baju tersebut di sisi Tyra dan Tyra diadili oleh juri tanpa costume. Tanpa disangka-sangka, alhamdulillah Tyra berjaya meraih tempat ke-2 keseluruhan dan membawa pulang hadiah berupa pellet Genesis 500gram, botol air, sedikit makanan ringan serta arnab mongrel (arnab kampung). Keseluruhan aktiviti yang dianjurkan adalah menghiburkan dan bermanfaat bagi peminat arnab seperti sayasukaarnab, terutamanya Bunny Clinic yang disampaikan oleh saudara Tim daripada Truluvrabbitry.com. Gambar mata Tyra yang bewarna merah turut dikongsikan saudara Tim dalam blognya iaitu http://truluvrabbitry.com/2012/12/30/bunnys-journal-gathering-2-0/ . Berikut merupakan antara rentetan aktiviti dalam Bunny Journal Gathering tersebut:

pendaftaran

bunny clinic by Mr.Tim

contestant of the bunny fancy contest

Tyra sedang diadili juri

juri yang menyukai mata merah Tyra

pemenang petama dengan arnabnya, Molly dan hadiahnya, Reko's Rihanna arnab netherland dwarf

Tyra kiri dan Molly kanan

ahli gethering bergambar bersama


Sayasukaarnab berasa beruntung kerana berkesempatan menyertai bunny gathering ini kerana berjaya memperoleh pelbagai ilmu tentang arnab dan berjumpa rakan baru yang sudi untuk berkongsi idea dan input berkaitan dengan arnab. Pastinya sayasukaarnab berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan buat masa mendatang agar industri arnab di Malaysia terus berkembang seiring industri pertanian dan penternakan Malaysia. Terima kasih kepada penganjur, teman-teman yang menyertai dan penaja. Semoga ketemu lagi di masa hadapan.




Sunday, 23 December 2012

ARNAB MINI REX UNTUK DIJUAL



Saban tahun bilangan arnab sayasukaarnab semakin meningkat. Tambahan pula penghujung sesi tahun 2012 ini memperlihatkan banyak kelahiran arnab yang berjaya dikembangbiakkan. Lantaran kekangan kawasan dan masa untuk memelihara arnab dalam kapasiti yang banyak, sayasukaarnab perlu melepaskan beberapa ekor induk mini rex yang sedia ada dengan kadar segera. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan mana-mana arnab yang ingin dijual, sila hubungi sayasukaarnab melalui blog mahupun facebook Sayasukaarnab Blogspot. Hanya minimum adoption fees perlu dibayar pembeli ataupun sayasukaarnab terima mana-mana swap dengan pellet arnab kerana sayasukaarnab perlu mengosongkan sangkar dengan segera demi keselesaan anak-anak arnab yang kian membesar. Berikut merupakan arnab mini rex yang ingin dilepaskan kepada yang berminat:

Breed: Mini Rex
Color: Black
Sex: Buck
Sire: MR Tort
Dam: MR Opal
Pedigree: Non


Breed: Mini Rex
Color: Tortoise
Sex: Buck
Sire: MR Black
Dam: MR Black
Pedigree: Non


Jika berminat, sila maklumkan sayasukaarnab dengan segera untuk mengetahui minimum adoption fees atau pellet untuk di swap. Penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia berdasarkan rundingan dan adoption fees atau pellet untuk di swap tidak termasuk kos penghantaran. Selamat memelihara arnab =)



Friday, 7 December 2012

JUALAN ARNAB DI MAHA INTERNATIONAL 2012



MAHA International 2012 (Malaysia Agriculture, Holticulture & Agrotourism International Show) telah pun melabuhkan tirainya. Dianggarkan sejumlah 3 juta pengunjung telah membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang sepanjang seminggu lebih penganjuran MAHA 2012. Sayasukaarnab tidak terkecuali mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia tersebut. Selain ingin mencuci mata melihat produk pertanian terbaharu, tujuan utama sayasukarnab pastilah tertumpu kepada produk berkaitan arnab serta arnab itu sendiri. Menerusi pemerhatian, tidak banyak booth berkaitan arnab yang dibuka. Sayasukaarnab hanya berjaya singgah di booth Kuanter Jualan Arnab yang turut menyediakan Rabbit Park, Agrotech Animal Feed Sdn.Bhd yang menjual produk Genesis serta sebuah lagi gerai haiwan yang turut menjual arnab. 

Sayasukaarnab banyak menghabiskan masa di Rabbit Park kerana melayan kerenah arnab-arnab yang dilepas bebas dan boleh diberi makan secara dekat. Cumanya kasihan sayasukaarnab melihat ada arnab yang lumpuh (mungkin kesan stres daripada cuaca dan orang ramai), arnab tidak cukup usia (rasa-rasanya dibawah usia 2 bulan sudah dijual) serta arnab diberi makan carrot/lobak merah oleh pengunjung (carrot mengandungi air yang banyak dan boleh mengakibatkan cirit-birit terhadap arnab).

pengunjung melihat arnab yang dijual

antara aksesori arnab dan arnab yang dijual

rabbit park yang menyediakan perkhidmatan bermesra dengan arnab


Kemudian, apabila sayasukarnab sampai sahaja di booth Genesis, hari dah malam dan penjaga booth pun dah siap-siap kemas booth untuk ditutup. Jadi tidak banyak yang sayasukaarnab dapat tanyakan kepada penjaga booth. Walaupun begitu, pengunjung booth tersebut masih ramai. Itulah dinamakan penangan Genesis ya.

makanan arnab yang dijual, Genesis

pengunjung yang membanjiri booth Agrotech Animal Feed

antara arnab yang dijual

lagi antara arnab yang dijual


Terakhir sebelum pulang, sayasukaarnab sempat menjenguk sebuah booth yang menjual pelbagai jenis haiwan kesayangan, termasuklah arnab.

arnab mix breed yang dijual

pelbagai jenis arnab yang dijual


Itu sahaja tentang jualan arnab di MAHA 2012. Cumanya, sayasukaarnab tidak pun membeli mana-mana arnab yang dijual disana kerana bilangan arnab dirumah sayasukaarnab juga telah melebihi kuota yang sepatutnya. Jadi gigit jari sahajalah lihat arnab-arnab yang menarik. Diharapkan jikalau panjang umur, sayasukaarnab dapat mengunjungi pameran MAHA di tahun mendatang dan mungkin menyertainya bukan sebagai pengunjung sahaja, bahkan sebagai peserta pameran dan jualan. Sehingga berjumpa lagi dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/.



Thursday, 22 November 2012

CARA-CARA POTONG KUKU ARNAB



Sepertimana kebanyakkan haiwan peliharaan lain, arnab juga perlu di grooming agar kesihatan dan kecantikkannya kekal terpelihara. Tambahan pula, sebagai haiwan kesayangan daripada spesis yang menggorek tanah, kuku arnab akan sentiasa tumbuh memanjang. Jadi jika tidak dipotong, kuku arnab yang terlalu panjang akan menyebabkan kecederaan kepada manusia jika dicakar. Namun, sayasukaarnab sering mendengar rintihan sesetengah individu yang mengatakan, ”Takutlah potong kuku arnab. Takut kena cakar”, ”Susahlah nak potong kuku arnab, saya tak tahu”, dan ”Boleh ke potong kuku arnab? Arnab ok ke?”. Oleh itu, sayasukaarnab ingin menunjukkan kepada semua cara-cara untuk memotong kuku arnab. Dalam entry terdahulu iaitu MARI MENCANTIKKAN ARNAB, saya sukaarnab telah meuar-uarkan kepada pencinta arnab agar memotong kuku arnab supaya tidak luka apabila dicakar. Kini, tutorial melalui video akan lebih memudahkan semua untuk mempelajari cara-cara memotong kuku arnab dengan betul, mudah dan selamat. Selamat menonton.




Mudah bukan? Jadi tunggu apa lagi? Potonglah kuku arnab anda semua, agar arnab sihat, cantik dan kemas sentiasa. Selamat mencuba.



Friday, 26 October 2012

UBAT CIRIT-BIRIT ANAK ARNAB



Kebelakangan ini, beberapa pertanyaan diajukan oleh pencinta arnab di luar sana kepada sayasukaarnab mengenai ubat cirit-birit yang sesuai untuk anak arnab. Setakat ini, sayasukaarnab tidak berapa pasti ubat yang paling sesuai untuk diberikan kepada anak arnab yang cirit-birit kerana sayasukaarnab masih belum mengalami masalah sedemikian. Walaupun begitu, menerusi rujukan daripada breeder dan pencinta arnab yang lebih berpengalaman, sayasukaarnab telah menemui beberapa bahan yang sesuai bagi mengatasi masalah cirit-birit anak arnab.

Jikalau anak arnab baru sahaja diserang cirit-birit, cuba berikan minuman kultur hidup seperti Yakult atau yogurt natural menggunakan picagari. Cukup dengan memberikan sedikit demi sedikit, kuantitinya bergantung kepada usia anak arnab. Yakult atau natural yogurt berkesan kerana mengandungi kultur hidup (bakteria baik) yang mampu melawan patogen (bakteria jahat) untuk menstabilkan kembali ph perut anak arnab.

natural yogurt

picagari


Manakala jika berterusan, gunakanlah pil chi kit teck aun tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Cukup sekadar 2-3 biji dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada anak arnab menggunakan picagari. Pil chi kit teck aun mengandungi arang yang mampu menutralkan ph perut anak arnab, malahan juga arnab dewasa.

pil chi kit teck aun


Tetapi jika ingin gunakan bahan secara alami, bolehlah dicuba pucuk jambu batu. Ambillah pucuk jambu batu dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada kits menggunakan picagari. Pucuk jambu batu dipercayai mampu menyembuhkan masalah cirit-birit bukan sahaja arnab, tetapi juga manusia itu sendiri. Bagi langkah ini, disarankan agar pencinta arnab berhati-hati kerana pucuk jambu batu (daun hijau) masih asing terhadap perut anak arnab. Maka penggunaannya haruslah diawasi.

pucuk jambu batu


Itu sahaja. Segala proses pemberian ubat cirit-birit anak arnab haruslah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Ingat, kuantiti ubatan tersebut juga perlu bergantung kepada usia dan berat anak arnab. Selamat mencuba.


*segala gambar adalah ehsan Google. Terima kasih Google.


Wednesday, 17 October 2012

PUNCA ARNAB CIRIT-BIRIT *ARNAB PERUT KEMBUNG ATAU BLOAT DISEASE


Dalam entry lepas MAKANAN ARNAB *SAYUR BERBAHAYA, sayasukaarnab ada menyenaraikan makanan arnab berbahaya yang boleh mengakibatkan penyakit masalah perut kembung dan jika tidak dirawat segera akan mengakibatkan kematian kepada arnab. Masalah tersebut juga dikenali sebagai ‘bloat disease’. Berikut merupakan antara sorotan gambar menunjukkan arnab yang telah mati disebabkan masalah perut kembung atau bloat disease tersebut.

arnab yang telah mati

postmortem dilakukan bagi mengetahui punca kematian

usus dan perut arnab tersebut

abdomen paling kanan adalah perut arnab, agak kembung bukan?

usus besar arnab

perut arnab

setelah postmortem, didapati kematian arnab disebabkan perut kembung atau bloat disease


Agak menggerunkan bukan? Jika arnab anda telah mengalami masalah perut kembung kronik sebegini, caranya hanya dengan menebuk bahagian perut arnab tersebut dengan suatu alatan khas untuk mengeluarkan gas yang terperangkap dalam perut arnab tersebut. Amalan ini biasanya diamalkan oleh penternak untuk haiwan ternakan seperti kambing dan juga lembu. Jika berkesempatan, sayasukaarnab akan kongsikan langkah-langkah tersebut. Tetapi, pencinta arnab di luar sana harus ingat, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Lantaran itu, jangan berikan arnab anda makanan sebarangan, ketahuilah fungsi dan kesan makanan tersebut terlebih dahulu sebelum diberikan kepada arnab yang tersayang.



*Terima kasih kepada Apartment Rabbit Farm kerana sudi berkongsi gambar untuk tatapan bersama.



Wednesday, 10 October 2012

MAKANAN ARNAB *SAYUR BERBAHAYA



Senario pemeliharaan arnab di Malaysia dilihat masih tidak mementingkan kualiti pemakanan arnab itu sendiri. Sayasukaarnab juga tidak terkecuali, mujurlah sayasukaarnab tidak terlalu berani mencuba sesuatu yang drastik kepada my beloved rabbits. Semua perlu tahu, dengan hanya mencampakkan pellet (tidak kisah cap apa pun) ke dalam bekas makanan arnab dan kadangkala memberikan buah-buahan busuk mahupun sayur-sayuran, dedaun yang dipetik di halaman rumah kepada arnab kita merupakan antara etika yang tidak wajar dilakukan oleh pencinta arnab. Perkara sebegini hanya akan memberikan impak buruk kepada kadar nutrisi arnab, bahkan boleh membawa maut. Ingatlah, arnab tidak boleh makan makanan yang tidak akan dimakan oleh manusia (seperti buah dan sayur-sayuran lebihan yang telah busuk serta berbahaya). Memanglah kalau kita letakkan dalam sangkar arnab, semuanya akan habis dimakan. Kesannya pasti nanti akan menjejaskan kesihatan arnab.

Sayur yang paling mudah didapati dimana-mana pasaraya, tetapi tidak boleh diberikan kepada arnab ialah salad iceberg ataupun lebih dikenali sebagai ‘iceberg lettuce’. Salad ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana menjadi kegunaan seharian kita, terutamanya sebagai hidangan masakan.

beginilah pokok sayur iceberg lettuce

jikalau ingin dijadikan hidangan, sayur ini akan dibelah dan diracik...

Salad ini mengandungi susu getah yang berwarna putih dan boleh diekstrak untuk digunakan oleh manusia sebagai pengkhayal dalam ubat-ubatan. Namun jika diberikan kepada arnab, arnab anda akan mengalami kekembungan dan boleh berlaku cirit-birit. Hal ini kerana sayur ini akan menghasilkan gas ketika proses penghadaman berlangsung dan arnab tidak boleh sendawa untuk mengeluarkan angin yang terkumpul dalam perut. Jadi kekembungan ini akan mengakibatkan cirit-birit yang melampau, seterusnya kematian arnab tersayang.

beginilah rupa susu getah yang terhasil daripada sejenis pokok daripada keluarga lettuce


Antara sayuran lain yang dianggap berbahaya dan sama kesannya seperti salad iceberg kepada arnab adalah daun pokok kentang, daun pokok tomato dan kobis. 

daun pokok kentang

daun pokok tomato

pokok sayur kobis

sayur kobis yang sedia dibelah

Jadi, jangan berikan arnab anda sayur-sayuran tersebut (walaupun arnab anda kelihatan suka akannya) agar masalah perut kembung, cirit-birit dan kematian arnab tidak berlaku. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Selamat mencuba =).


*p/s:keseluruhan gambar credits to Google (yela di rumah sayasukaarnab manalah ada sayur-sayuran ini..hehe). Thanks Google.

Sunday, 30 September 2012

CARA-CARA JINAKKAN ARNAB


Arnab merupakan sejenis haiwan yang aktif dan agak agresif jika tidak kena pada tempatnya. Sementelah kini semakin ramai individu yang memelihara arnab, pastinya ada antara mereka yang berdepan dengan masalah arnab yang agresif mahupun sukar untuk dibelai. Hal ini bergantung kepada pelbagai faktor. Antaranya ialah faktor baka (kalau netherland dwarf memang aktif sebab salasilahnya daripada arnab liar), hormon (arnab bunting memang agak agresif), persekitaran (rasa terancam dan tidak selamat) dan pelbagai lagi.

bukan mudah nak grooming arnab kalau agresif, silap hari bulan calar-balar tangan dibuatnya..


antara contoh arnab yang jinak, boleh dibelai tanpa melarikan diri dan tidak bertindak agresif dengan menggigit dan mencakar tangan


Walaupun sedemikian, jangan risau arnab kesayangan kita masih boleh dijinakkan. Berikut merupakan antara langkah mudah untuk menjinakkan arnab anda :

1)  Kerap luangkan masa bersama arnab anda. Lepaskan arnab anda bebas beriadah dan bermain serta belailah arnab tersebut. Jika kita sentiasa meluangkan masa bersama arnab-arnab tersebut, pastinya arnab tersebut akan menjadi terbiasa dengan kehadiran kita dan tidak berasa terancam jika kita memegang mereka.

2)  Pegang arnab dengan cara yang betul. Sentiasa mengangkat arnab anda dengan cara yang betul iaitu memeluk badannya seperti kucing atau pun genggam kulit belakang badan arnab dan tampung punggung arnab dengan tangan lagi sebelah. Ingat, jangan sesekali angkat arnab anda dengan menggenggam telinganya kerana telinga arnab merupakan bahagian arnab yang sensitif, bukan sahaja mengandungi ribuan malahan jutaan urat saraf. Jika arnab berasa selesa dipegang kita, maka arnab tersebut akan merelakan dirinya diangkat oleh kita kelak.

3)  Hadiahkan treats berupa ganjaran kepada arnab. Sekali-sekala ketika menjenguk arnab disangkar, hadiahkanlah mereka sepotong buah-buahan segar mahupun kering. Sambil mengusap bulu arnab, berikan mereka treats tersebut. Maka, arnab akan berasa seronok dengan perlakuan tersebut kerana mendapat ganjaran dan kelak akan ternanti-nanti kedatangan kita untuk membelainya lagi.

4)  Letakkan sangkar arnab di tempat yang tenang dan bebas gangguan cuaca, pemangsa dan bunyi. Jika arnab berasa tidak selamat akan keadaan persekitarannya, maka arnab akan sentiasa berjaga-jaga dan akan menyerang sesiapa yang cuba menghampirinya (tak kisahlah orang mahupun arnab lain) untuk mempertahankan diri. Oleh itu, letakkan arnab anda ditempat tiada gangguan. Jika ada, mungkin arnab anda bukan sahaja bersifat defensif malahan turut boleh mengakibatkan kematian arnab yang stres dan terkejut itu.


Itu sahaja antara langkah yang dapat sayasukaarnab senaraikan. Hanya 4 langkah mudah, arnab jinak anda gembira. Selamat mencuba =).



Sunday, 16 September 2012

CARA-CARA MEMELIHARA ARNAB



Kebelakangan ini, dilihat semakin ramai individu yang tertarik untuk memelihara arnab atas pelbagai faktor, terutamanya pastilah disebabkan kecomelannya. Hal ini boleh dilihat melalui bilangan pengunjung dalam blog-blog arnab semakin meningkat, bilangan ahli dalam laman muka buku berteraskan peliharaan arnab semakin ramai, penjual arnab dipasar malam ataupun ‘downtown’ semakin ramai dan banyak lagi. Namun, apa-apa yang semua harus tahu adalah pemeliharaan arnab bukanlah semudah A, B, C iaitu beli, bagi makan dan biar. Semuanya lebih dari itu. Bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan cara-cara memelihara arnab, rujuk info dibawah.

Tyra semasa junior

Giorgio semasa junior, kedua-duanya sangat comel sehinggakan sayasukaarnab terus memelihara arnab sehingga hari ini 


1)  Beri makanan dan air bersih setiap hari. Pemberian kuantiti makanan adalah berbeza-beza bagi arnab diusia bawah 5 bulan dengan arnab diusia 6 bulan ke atas. Arnab yang usianya bawah 5 bulan perlu diberi makan pellet secukupnya, manakala 6 bulan ke atas harus disukat kuantiti pelletnya bergantung kepada berat dan usia arnab. Timothy hay baik untuk arnab 6 bulan ke atas sebagai makanan ruji iaitu pemberian tanpa had, baik di siang hari atau malam hari. Manakala alfalfa hay baik untuk anak arnab bawah 5 bulan dan untuk induk yang mengandung serta menyusukan anak. Hal ini kerana alfalfa mengandungi kandungan protein yang baik untuk tumbesaran. Sayur-sayuran basah dan buah-buahan boleh diberikan sebagai ‘treat’ kepada arnab anda, tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Waktu malam adalah waktu paling aktif bagi arnab, maka arnab akan makan lebih banyak diwaktu malam. Jadi jangan lupa untuk sediakan makanan yang secukupnya dan bekalkan air bersih yang ditukarkan setiap hari.

2) Bersihkan sangkar arnab dengan kerap. Sangkar yang kotor bukan sahaja akan mengundang bakteria, fungus dan juga makhluk perosak serta mampu membahayakan kesihatan arnab, malahan diri anda juga.

3) Beri perhatian kepada arnab anda setiap hari. Bermainlah dan luangkan masa dengan arnab anda sekurang-kurangnya sekali sehari agar arnab anda rasa disayangi. Jika anda merancang untuk melancong atau ke mana-mana sahaja, pastikan ada individu yang boleh membantu anda untuk menjaga arnab anda.

4) Sediakan permainan untuk arnab anda. Tidak perlu barangan mahal, cukuplah sekadar role tisu yang sudah tidak digunakan, mahupun loceng dan biarkan arnab anda bermain bersama barangan tersebut. Pastinya keletah arnab akan mengundang senyum dibibir anda.

5) Lakukan pemeriksaan kesihatan di klinik haiwan. Rutin pemeriksaan arnab ke klinik haiwan harus dilakukan, seminimumnya adalah 6 bulan sekali. Hal ini bagi memastikan arnab diberi imunisasi merentang penyakit bahaya seperti kurap dan cacing.

6) Lepaskan arnab anda dihalaman yang bebas makhluk perosak. Pastikan arnab dibiar lepas bebas dikawasan yang tidak terdapat haiwan pemangsa dan makhluk perosak seperti kutiu mahupun cacing.

7) Sediakan ruang sangkar yang selesa bagi arnab anda. Jangan letakkan arnab dalam sangkar yang terlalu kecil mahupun terlalu banyak bilangan arnab dalam satu-satu sangkar. Pastikan arnab diletakkan seekor sahaja dalam setiap sangkar bagi memudahkan tugas memantau kesihatan dan proses mengawan arnab anda.

8) Arnab tidak perlu mandi. Lumrahnya, seperti haiwan lain arnab akan membersihkan diri sendiri. Namun jika arnab didapati terlalu kotor, cukuplah sekadar menggunakan ‘dry shampoo’ iaitu shampoo arnab tanpa bilas. Ditakuti jika arnab yang tidak biasa dimandikan akan mati secara tiba-tiba kerana terkejut dengan perubahan suhu badan.

9) Pegang arnab dengan cara yang betul. Jangan pegang arnab dengan mengangkat kedua-dua telinganya sahaja kerana dibahagian telinga arnab terdapat jutaan saraf yang dikhuatiri jika tersalah pegang akan membahayakan arnab anda. Genggam kulit belakang badan arnab dan tampung badan arnab dengan sebelah tangan lagi atau peluk arnab macam peluk kucing (itu pun kalau arnab anda tidak menendang dan mencakar).

Itu sahaja. Selamat memelihara arnab =)



Wednesday, 8 August 2012

ANAK ARNAB MATI


Bulan Jun dan Julai 2012 telah berlalu meninggalkan sayasukaarnab dengan memoir yang pelbagai warna. Hakikatnya, menerusi pengalaman inilah sayasukaarnab mengatasi kelemahan dan mempelajari ilmu baharu untuk meningkatkan kualiti pemeliharaan arnab yang lebih baik. Sepanjang 2 bulan tersebut, Tyra, Selita dan Istabella (teddy bear rabbit) telah berjaya melahirkan anak-anak yang pastinya cukup menggembirakan sayasukaarnab. Tyra beranak sebanyak 3 ekor kits, Selita 2 ekor kits dan Istabella 2 ekor kits. Bukankah jumlah ini cukup banyak buat pencinta arnab kecil-kecilan seperti sayasukaarnab? Ya, ternyata sayasukaarnab cukup gembira dan tak menang tangan dibuatnya dengan kelahiran kali ini.

Tetapi kegembiraan tersebut tidak berpanjangan. Tidak tahu pucuk pangkalnya, Tyra yang sedia berpengalaman melahir dan menjaga anak telah kematian anaknya satu demi satu selang beberapa hari beranak. Ada yang mati tidak menyusu, terbelit bulu induknya dan juga mati dipijak Tyra. 

Tyra's kits di hari ke-3 kelahiran

Kesedihan ini berterusan apabila kelahiran Istabella yang buat julung kalinya tidak berjaya, keseluruhan anaknya mati sedari awal kelahiran. Berlainan pula dengan Selita. Seekor anaknya mati sejak dilahirkan dan seekor lagi hidup tetapi tidak mahu dijaga olehnya. Sayasukaarnab mengambil langkah untuk mengasingkan anak tersebut dan dijaga dengan begitu rapi. Susu diberikan secara manual dengan menumpang susu Miranda (senior doe mini rex). Namun sudah ketentuan-Nya, pada hari ke-6 anak tersebut turut mati.

anak Selita yang mati

anak Selita yang hidup, namun sehingga hari ke-6 sahaja

Maka, keseluruhan kelahiran pada musim ini tidak menjadi. Sehingga saat ini, sayasukaarnab  mengambil keputusan merehatkan kesemua buck dan doe agar rabbits tersebut akan dapat lebih bersedia untuk kelahiran musim yang seterusnya. Semoga pencinta arnab diluar sana dapat mendoakan kejayaan sayasukaarnab yang lebih gemilang kelak. Sehingga berjumpa lagi dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/.


Saturday, 26 May 2012

MEMBIAKBAKAKAN ARNAB *MIRANDA, ARNAB MINI REX BERANAK



Dalam entry lepas iaitu VITAMIN UNTUK ARNAB *NEUROVIT, sayasukaarnab ada memberitahu tentang kebaikan penggunaan multivitamin tersebut. Kesan ketara penggunaan multivitamin ini ialah dapat dibuktikan melalui kelahiran sulung Miranda Eve telah berjaya. Pada 19 Mei 2012 yang lepas, Miranda telah melahirkan 4 ekor kits (1 mati ketika dilahirkan). Hal ini pastinya amat dinantikan sayasukaarnab dan keluarga, sementelah kelahiran Luna yang lalu tidak berjaya diselamatkan.

Seawal hari ke-23 bunting, Miranda telah bersedia menyusun hay di suatu sudut sangkarnya. Bulu badannya turut dicabut sedikit demi sedikit. Hal ini telah menjadikan sayasukaarnab sedikit gusar kerana hal ini terlalu awal untuk seekor arnab bersedia untuk beranak. 

sedia mengangkut hay untuk disusun menjadi sarang

mencabut bulu badan

Setelah pemberian multivitamin Neurovit, Miranda ternyata lebih santai dan tidak terlalu stress. Biarpun nestbox diletakkan dalam sangkarnya pada hari ke-29 bunting, tiada langkah-langkah persediaan untuk melahirkan pula dilakukannya. Sedikit masa diambil, barulah Miranda memulakan tugasnya menyusun hay dalam nestbox. Kemudiannya pada hari ke-30 bunting, barulah bulu badannya dicabut sepenuhnya. 

hay disusun dalam nestbox

barulah penuh nestbox dengan gumpalan bulu

Sayasukaarnab menjangkakan untuk Miranda beranak pada hari ke-30 mahupun pagi hari ke-31, namun setelah puas menanti, masih tiada hasil. Tup, tup, kits dilahirkan pada 1.15 tengahari pada hari ke-31 bunting.

ketika baru beberapa minit beranak..kits paling kiri mati ketika dilahirkan

Mujur 3 daripada 4 kits yang dilahirkan selamat. Takut juga sayasukaarnab anak yang dilahirkan stillborn (sepertimana yang terjadi kepada Selita tempoh hari) mahupun anak tidak boleh keluar sebab besar kerana inilah pertama kali Miranda beranak.

kits yang mati, sempurna, sederhana saiznya (macam yang lain-lain) dan mungkin mati kerana dilahirkan paling akhir

Sayasukaarnab turut meragui kemampuan Miranda untuk menjaga dan menyusui anaknya dengan baik kerana merupakan induk muda, kurang pengalaman dan saiz badannya kecil. Namun, apa-apa yang dirunsingkan dapat diuraikan kerana sehingga hari ini, anak-anak Miranda montel-montel hasil jagaannya. Bagi memastikan bekalan susu Miranda sentiasa ada dan tidak stress, sayasukaarnab senantiasa memastikan pellet, alfalfa hay dan oat sentiasa ada dalam sangkarnya. Begitu juga Neurovit akan diberikan 0.5ml diwaktu pagi dan 0.5ml diwaktu malam. Hal ini bagi memastikan tubuh Miranda sentiasa dibekalkan dengan nutrien, vitamin dan tenaga yang cukup.

selepas seminggu dijaga Miranda Eve

bulat-bulat semuanya =)


Semoga anak-anak Miranda ini akan terus membesar dengan jayanya. Bagi pengetahuan semua, dalam bulan Mei ini, bukan sahaja Miranda berjaya melahirkan kits, malahan terdapat lagi seekor arnab teddy bear yang sudah pun melahirkan anaknya. Nantikan kisah generasi ke-2 arnab teddy bear dalahttp://sayasukaarnab.blogspot.com/. =)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...