Showing posts with label ubat-ubatan. Show all posts
Showing posts with label ubat-ubatan. Show all posts

Wednesday, 29 May 2013

UBAT HAMA, KELIMUMUR ARNAB ATAU RABBIT WALKING DANDRUFF, MITES


Entry yang lepas ada sayasukaarnab sebutkan tentang suatu ubat yang mampu berfungsi sebagai penghilang kelimumur arnab (rujuk HAMA, KELIMUMUR ARNAB ATAU RABBIT WALKING DANDRUFF, MITES). So hari ini sayasukaarnab nak kongsikan dengan pencinta arnab di luar sana tentang produk yang telah sayasukaarnab gunakan dan didapati berkesan untuk membunuh kelimumur dalam kalangan arnab (sebab actually kelimumur ni kan sejenis hidupan yang digelar ‘walking dandruff’ oleh orang Barat). Produk tersebut adalah Fungus Killer (fungus spray for pets) keluaran Dr Bunny.

inilah rupa bentuk produk Fungus Killer tersebut
*pic kredit kepada CME Rabbitry

Didatangkan dalam bungkusan kotak kecil warna biru putih dan dalam kotak tersebut terdapat sebotol spray warna putih yang mengandungi cecair fungus killer ni. Cecair tersebut bewarna putih jernih dan anda tidak perlu risau akan warna bulu arnab kesayangan anda terjejas. Semburlah banyak mana pun, tiada kesan warna yang akan melekat pada bulu arnab. Sayasukaarnab pun biasa semburkan pada Tyra (arnab baka teddy bear bewarna ruby eyed white (REW)), tak pernah terkesan pun pada bulunya.

Tyra REW teddy bear rabbit

Bagi pencinta alam, jangan risau. Cecair tersebut adalah 100% ekstrak tumbuhan semulajadi dan bebas daripada alkohol mahupun toksid. Senang cerita produk ini memang mesra alam dan mesra haiwan. Fungsi utamanya ialah untuk merawat kulat dan kuman pada haiwan kecil sahaja. Contohnya seperti chinchillas, guinea pig, hamsters dan pastinya arnab. Kekerapan penggunaannya pula adalah bergantung pada keperluan arnab tersebut. Seeloknya gunakanlah secara kerap mahupun secara rutin. Tetapi perlu diingat, semakin tinggi kekerapan penggunaan, maka semakin cepat jugalah cecair tersebut berkurangan. Perlu disarankan, penggunaan produk ini adalah secara luaran. Tetapi jika arnab anda menjilat dibahagian yang disemburkan tadi, jangan risau kerana produk ini kan mesra alam, maka tiada kesan sampingan yang membahayakan. Jika tersembur pada bahagian mata pula, cuci segera bahagian mata haiwan yang terkena agar tidak berlaku  rengsa. Itu sahaja, mudah bukan.

So jika ada pencinta arnab diluar sana yang ingin menggunakan produk ini, sila pastikan baca dahulu arahan pada label kotak sebelum menggunakannya. Anda juga boleh dapatkan produk ini daripada kedai haiwan yang berhampiran mahupun rakan pencinta arnab seperti CME Rabbitry. Selamat mencuba =)



Thursday, 14 March 2013

HAMA, KELEMUMUR ARNAB ATAU RABBIT WALKING DANDRUFF, MITES



Pernahkah anda melihat keruping-keruping putih seakan kelemumur di sekitar tengkuk, telinga mahupun dicelah-celah helaian bulu arnab anda?

ni keruping di sekitar bahagian hujung cuping telinga. kurang jelas bukan? 
tidak mengapa, sila lihat gambar dibawah...


haaa... inilah contoh keruping yang dimaksudkan. ni memang dah banyak ni, kadang kala keruping ini wujud dalam kuantiti yang sedikit... 
*pic tanx google


Macamana, adakah arnab anda mempunyai masalah keruping tersebut? Jika jawapan anda adalah ‘Ya’, maka anda perlu bertindak segera kerana arnab anda telah dijangkiti hama atau lebih dikenali dengan panggilan ‘walking dandruff’.

ni merupakan contoh ilustrasi hama 'walking dandruff' tersebut. 
*pic tanx google

Terdahulu, sayasukaarnab juga sering dilanda masalah ini berikutan kebanyakan my beloved bunnies adalah daripada kategori berbulu panjang. Jadi jika tidak sering di grooming dan dipantau, plus dengan climates Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun, maka ‘kelemumur’ ini akan mudah berkoloni dibadan arnab anda. Tapi, jangan ingat arnab berbulu panjang sahaja yang berpotensi dijangkiti hama, malahan semua jenis arnab termasuklah kucing dan juga anjing boleh dihinggapi hama tersebut.

Antara simptom-simptom ketara yang ditunjukkan oleh arnab anda jika mengalami masalah hama ini adalah seperti berikut:

  1. Terdapat kepingan-kepingan putih seakan kelemumur dimana-mana bahagian anggota tubuh arnab. Selalunya terdapat di belakang tengkuk dan juga telinga arnab. Hakikat keruping itu merupakan sel kulit mati arnab yang menjadi tempat bersarangnya hama-hama tersebut.

  1. Berlaku keguguran bulu dibahagian yang diserang hama tersebut. Keguguran bulu ini tidaklah ketara seperti botak, namun dikawasan yang dijangkiti hama itu akan memiliki bulu yang jarang, sedikit dan pertumbuhan bulu baru adalah lambat. Hal ini adalah berbeza dengan situasi arnab yang mengalami proses pertukaran bulu atau molting secara semulajadi. Molting yang biasa akan berlaku mengikut perubahan makanan, tumbesaran dan usia arnab anda serta berlaku dikeseluruhan bahagian anggota tubuh arnab.

  1. Arnab akan kerap menggaru dibahagian tersebut. Contohnya jika terdapat ’kelemumur’ dibahagian telinga, maka arnab akan dilihat kerap menggaru telinganya. Hati-hati, jika arnab menggaru sesuatu anggotanya dengan kerap, luka boleh terjadi. Hal ini hanya akan menyebabkan hama melarat dan mungkin merebak ke bahagian lain tubuh arnab yang tidak dirawat.


Jadi, arnab anda yang mempunyai masalah tersebut perlu dapatkan rawatan segera kerana masalah hama ini AMAT SUKAR DI ATASI! Ya, sayasukaarnab sendiri mengambil tempoh masa yang panjang demi mencari rawatan yang sesuai dan menghapuskan hama tersebut. Memetik kata-kata saudara Tim daripada Tru-Luv Rabbitry, ”Hama ini sukar dihapuskan dan mungkin akan kekal selamanya di tubuh arnab yang dijangkiti. Penawarnya hanyalah rawatan yang berterusan”. Lantaran itu, sayasukaarnab ingin berkongsi bersama pencinta arnab semua ubat yang boleh mengurangkan, sekali gus menghapuskan hama atau ’walking dandruff’ yang mengganggu arnab semua. Mahu tahu apakah ubat itu? Bagaimana pula cara-cara untuk mengaplikasikannya? Nantikan kemunculan entry yang seterusnya dalam sayasukaarnab .blogspot.com.


Selamat berhujung minggu bersama keluarga dan juga arnab tersayang =)



Friday, 26 October 2012

UBAT CIRIT-BIRIT ANAK ARNAB



Kebelakangan ini, beberapa pertanyaan diajukan oleh pencinta arnab di luar sana kepada sayasukaarnab mengenai ubat cirit-birit yang sesuai untuk anak arnab. Setakat ini, sayasukaarnab tidak berapa pasti ubat yang paling sesuai untuk diberikan kepada anak arnab yang cirit-birit kerana sayasukaarnab masih belum mengalami masalah sedemikian. Walaupun begitu, menerusi rujukan daripada breeder dan pencinta arnab yang lebih berpengalaman, sayasukaarnab telah menemui beberapa bahan yang sesuai bagi mengatasi masalah cirit-birit anak arnab.

Jikalau anak arnab baru sahaja diserang cirit-birit, cuba berikan minuman kultur hidup seperti Yakult atau yogurt natural menggunakan picagari. Cukup dengan memberikan sedikit demi sedikit, kuantitinya bergantung kepada usia anak arnab. Yakult atau natural yogurt berkesan kerana mengandungi kultur hidup (bakteria baik) yang mampu melawan patogen (bakteria jahat) untuk menstabilkan kembali ph perut anak arnab.

natural yogurt

picagari


Manakala jika berterusan, gunakanlah pil chi kit teck aun tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Cukup sekadar 2-3 biji dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada anak arnab menggunakan picagari. Pil chi kit teck aun mengandungi arang yang mampu menutralkan ph perut anak arnab, malahan juga arnab dewasa.

pil chi kit teck aun


Tetapi jika ingin gunakan bahan secara alami, bolehlah dicuba pucuk jambu batu. Ambillah pucuk jambu batu dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada kits menggunakan picagari. Pucuk jambu batu dipercayai mampu menyembuhkan masalah cirit-birit bukan sahaja arnab, tetapi juga manusia itu sendiri. Bagi langkah ini, disarankan agar pencinta arnab berhati-hati kerana pucuk jambu batu (daun hijau) masih asing terhadap perut anak arnab. Maka penggunaannya haruslah diawasi.

pucuk jambu batu


Itu sahaja. Segala proses pemberian ubat cirit-birit anak arnab haruslah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Ingat, kuantiti ubatan tersebut juga perlu bergantung kepada usia dan berat anak arnab. Selamat mencuba.


*segala gambar adalah ehsan Google. Terima kasih Google.


Saturday, 19 May 2012

VITAMIN UNTUK ARNAB *NEUROVIT



Persediaan lebih rapi dilakukan sayasukaarnab demi memastikan peristiwa kematian kits tidak akan berulang. Disebabkan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan vet untuk membeli vitamin dan keperluan arnab (rumah sayasukaarnab jauh daripada vet klinik), jadi berdasarkan nasihat breeder arnab, pembacaan dan pencarian di laman maya, sayasukaarnab telah menemukan sejenis vitamin yang berfungsi secara menyeluruh bukan sahaja kepada ibu arnab, malahan juga kepada anak-anak arnab tersebut. Pernahkah anda mendengar sejenis multivitamin yang digelar Neurovit? Ya, itulah nama multivitamin yang telah sayasukaranab uar-uarkan dalam entry yang lepas. Berikut merupakan antara ciri-ciri dan fungsi multivitamin Neurovit :

1) Multivitamin ini terdapat dalam botol berkapasiti 120ml.

Neurovit (120ml)

2) Multivitamin ini diberikan kepada arnab secara oral, pastinya dengan menggunakan picagari.

Neurovit dan picagari

3) Sukatan pemberian Neurovit bergantung kepada berat badan arnab anda. Contohnya: Arnab 1kg : Neurovit 1ml

1ml Neurovit : 1kg arnab

4) Fungsi Neurovit ini adalah untuk meningkatkan tenaga dan daya tahan arnab anda daripada kekurangan nutrisi. Hal ini bermakna, vitamin ini bertindak bukan sahaja sebagai suppliment yang boleh membantu memberikan tenaga kepada arnab anda, tetapi turut dapat menjadikan arnab anda sihat dan kuat.

kepelbagaian jenis vitamin yang mempelbagaikan fungsi Neurovit

5) Apabila nutrisi yang mencukupi dapat diserap oleh tubuh arnab, maka daya rintangan arnab anda terhadap penyakit adalah tinggi. Oleh itu, arnab kurang diserang penyakit berbahaya dan kos rawatan arnab dapat dikurangkan.

6) Selanjutnya, dengan adanya bekalan nutrisi yang cukup, pejantan atau buck akan dapat berkhidmat dengan baik sebagai pembaka ketika proses mating. Hal ini akan meningkatkan kebernasan bagi satu-satu proses mating.

7) Apabila masalah kekurangan nutrisi dapat diatasi, maka kuantiti susu pada ibu mengandung dan menyusukan kits dapat ditingkatkan. Hal ini bermakna, tiadalah lagi masalah dam kurang susu dan kits tidak cukup susu (kurus).

8) Neurovit turut membantu anak-anak arnab membesar dengan baik iaitu dengan memberikan bekalan kalsium kepada pembentukan tulang arnab anda. Jika vitamin ini diamalkan sedari awal kehamilan, pastinya kits yang berkualiti dan sihat mampu dilahirkan.

9) Bukan itu sahaja, ibu arnab yang baru beranak serta buck dan doe yang kurang sihat akan mampu disembuhkan dengan segera jika mengamalkan penggunaan Neurovit ini.

10) Paling penting, Neurovit mampu mengatasi masalah stres arnab. Sebelum ini, sayasukaarnab ada menyatakan yang kelahiran tahun ini tidak berjaya disebabkan arnab stres bukan. Maka dengan adanya multivitamin ini masalah stress dalam kalangan arnab dapat dikurangkan.

Tetapi awas, penggunaan multivitamin ini haruslah dimulakan daripada awal dan secara berterusan agar segala kebaikan yang dinyatakan tadi diterima arnab secara menyeluruh. Segala info yang disenaraikan adalah daripada maklumat daripada breeder arnab, pembacaan, pencarian di laman maya serta testimoni daripada sayasukaarnab sendiri. Mahu tahu hasil penggunaan Neurovit ini kepada sayasukaarnab beloved rabbits? Silalah nantikan di entry yang akan datang dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/


*Bagi mendapatkan dan mengetahui tentang multivitamin Neurovit ini dengan lebih lanjut, anda bolehlah berhubung dengan pemilik Newhillz Rabbitry. Terima kasih En.Haril =)


Friday, 17 February 2012

UBAT KURAP ARNAB


Berdasarkan ciri-ciri arnab dijangkiti kurap dalam entry lepas, bahan yang digunakan untuk mengubati kurap arnab adalah seperti berikut :
1.      Bexton (Ivermectin 0.1% Oral Solution)
2.      Picagari tanpa jarum
3.      Dettol

 Bexton (Ivermectin 0.1% Oral Solution)

Picagari tanpa jarum
pi
Dettol pembasmi kuman


Seterusnya langkah-langkah dalam mengubati kurap arnab adalah seperti berikut :
1.      Sediakan Bexton, picagari dan Dettol. Pastikan picagari tersebut adalah baru mahupun telah disterilkan terlebih dahulu bagi membasmi sebarang kuman.

sediakan bahan-bahan yang diperlukan

2.      Sukat Bexton menggunakan picagari mengikut kuantiti yang disyorkan. Sayasukaarnab akan memberi my beloved rabbits Bexton mengikut berat badannya (berdasarkan pengalaman rawatan di klinik haiwan terdahulu yang telah terbukti berjaya mengubati kurap arnabku). Contoh : 0.7kg – 0.7ml. Tetapi bagi siapa-siapa yang masih ragu, sila patuhi jadual dibawah.

sukat Bexton gunakan picagari

Bexton dosage

3.      Berikan kepada arnab. Pastikan Bexton tersebut masuk ke dalam mulut dan arnab anda benar-benar menghabiskannya.

4.      Berikan Bexton dalam tempoh selang 2 minggu. Contoh : kali pertama – 1 Februari 2012, kali kedua – 14 Februari 2012 dan kali ketiga – 28 Februari 2012.

5.      Setelah 3 kali rawatan, kuping kurap akan tertanggal dan kesannya hilang dengan sendirinya. Pastikan arnab anda dirawat tidak lebih daripada 3 kali. Sekiranya rawatan yang berikutnya diperlukan, sila selang 2 bulan kemudian. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya keimunisasian Bexton iantu kurap arnab sudah lali dengan Bexton dan tidak boleh dihapuskan menggunakannya lagi.

6.      Paling penting, pastikan keadaan persekitaran sangkar arnab berada dalam keadaan bersih dan selamat. Gunakanlah pembasmi kuman seperti Dettol untuk membersihkan kawasan persekitaran arnab dan anggota tubuh anda yang terkena arnab yang berkurap. Hal ini bukan sahaja dapat menghalang daripada kurap menjangkiti arnab semula, malah turut mengelakkan daripada kurap tersebut menjangkiti anda.

*PERINGATAN : Jangan berikan Bexton kepada bunnies yang berusia dibawah 3 bulan dan arnab yang sedang bunting. Hal ini kerana dikhuatiri kesan sampingan Bexton yang boleh memudaratkan kesihatan arnab tersebut. Segala langkah berkenaan adalah berdasarkan pengalaman sayasukaarnab yang tidak seberapa ini. Jadi terpulang kepada pencinta arnab diluar sana untuk mengaplikasikan langkah-langkah ini dalam merawat arnab anda.

Bagi pengetahuan semua, Bexton dapat membasmi kurap (hama), di samping cacing dalaman badan arnab. Bekalan Bexton juga boleh didapati daripada penternak arnab yang boleh dihubungi melalui laman maya. Itu sahaja, selamat mencuba.



Friday, 27 January 2012

DIY *ORAL REHYDRATION SOLUTION (ORS)


Tatkala diserang kecemasan seperti your beloved rabbits mengalami cirit-birit, Oral Rehydration Solution (ORS) amat diperlukan bagi menggantikan air badan yang telah keluar bersama najis (diarrhea). Hal ini bagi mengelakkan dehidrasi dan menambah tenaga pada arnab tersebut. Bagi sayasukaarnab yang menetap dikawasan subbandar, adalah sukar untuk membeli ORS difarmasi mahupun klinik haiwan yang berdekatan di saat kecemasan kerana sering kali ditutup awal (sila rujuk entry UBAT CIRIT-BIRIT ARNAB). Lantaran itu, sayasukaarnab ingin berkongsi cara-cara untuk menghasilkan ORS sendiri dirumah. Bahan-bahan adalah seperti berikut :

a)     6 sudu teh GULA PASIR


b)     ½ sudu teh GARAM


c)      1 liter AIR BERSIH (bebas klorin)


d)     Picagari



Langkah-langkahnya :

1)     Sediakan ke semua bahan tersebut. (lihat bahan-bahannya seperti di atas)

2)     Campurkan gula pasir, garam dan air bersih tersebut. Kacau sehingga sebati.

kacau bahan tersebut agar kesemuanya sebati..

3)     Berikan ORS kepada arnab yang diserang cirit-birit menggunakan picagari.

sila gunakan picagari untuk memberikan ORS kepada arnab anda...

berikanlah ORS kepada arnab yang diserang cirit-birit...


Pastikan penggunaan ORS ini hanya dalam tempoh rawatan sahaja. Jangan gunakan dalam masa yang berpanjangan, dikhuatiri penyakit lain pula bakal menimpa arnab anda. Itu sahaja, mudah bukan? Selamat mencuba =)



Monday, 9 January 2012

UBAT ARNAB STRESS


Kebiasaannya my beloved rabbits akan dilepas bergerak bebas di dalam rumah bagi membolehkan arnab-arnab ini aktif dan bergembira bersama-sama keluarga. Dalam pada itu, membiarkan arnab bergerak bebas mampu  mengelakkan stress kepada arnab, melancarkan lagi peredaran darah dalam tubuh arnab ini, sekali gus menjamin tahap kesihatan yang lebih baik (seperti manusia, arnab juga perlu bersenam untuk hidup sihat dan kuat). Hal ini merupakan langkah paling asas dalam mengatasi stress arnab (tetapi kalau sudah sampai tahap stress yang kronik, preskepsi ubatan daripada vet adalah diperlukan). 

Lantaran itu, bagi membolehkan pergerakkan arnab kesayanganku ini tidak terbatas, rabbits ini akan dilepaskan dihalaman rumah pada hujung minggu. Selain dapat menghirup udara yang lebih segar, my beloved rabbits akan turut terkena tempias sinaran Matahari petang yang sedikit sebanyak sebenarnya mampu membunuh bakteria pada bulu arnab (jangan pula jemur arnab dibawah Matahari terik, dikhuatiri arnab bertambah stress kerana terkejut, seterusnya boleh mengakibatkan kematian). Minggu ini giliran Tyra’s family untuk beriang-ria di halaman rumah. Saksikanlah gelagat si comel ini keriangan. =) 


Tyra dan keluarga berkejar-kejaran...

Menginjak usia 3 bulan memperlihatkan Istabella begitu mirip kepada induknya...

Geese dan Istabella hanya bermain di sekeliling carriernya, mungkin kerana masih takut-takut untuk mengeksplore halaman rumah...

Berbeza dengan Selita, jauh meninggalkan yang lain...

Si comel Istabella Barbosa, semakin gebu daripada sehari ke sehari...


Begitulah gelagat arnab-arnabku tatkala dilepas bebas. Kadangkala terasa, bukan sahaja melepaskan my beloved rabbits ini dapat mengurangkan dan mengatasi stress arnabku, namun diri sendiri juga terasa terhibur melihat kelatah mereka yang pastinya mencuit hati. Ingin rasai pengalaman sebegitu? Selamat memelihara arnab. =)



Saturday, 1 October 2011

RABBIT SUPPLEMENT *EM4


Acap kali apabila sayasukaarnab menjengah blog-blog arnab yang lain, didapati kebanyakkan daripada mereka menggunakan EM4 dalam memelihara arnab. Lantaran itu, menerusi pencarian di laman maya, sayasukaarnab mendapati Effective Microorganisms (EM) ini ada baiknya. EM merupakan bakteria baik hasil kultur campuran daripada mikroorganisma hidup yang membantu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen atau bakteria jahat yang ada dalam sistem tumbesaran. EM adalah kultur campuran bakteria asid laktik, bakteria fotosintetik dan kulat penapaian atau yis yang digunakan dalam sektor pertanian, perternakan, perikanan, pengomposan, rawatan bau, rawatan air, kegunaan isi rumah, produk kesihatan, rawatan sisa buangan, rawatan tanah, pembersihan dan lain-lain.

Bagi manusia dalam menjaga kesihatan sistem penghadaman, minuman yogurt, vitagen mahupun yakult dilihat sebagai kaedah terbaik. Samalah juga fungsinya EM4 ini dalam bidang pemeliharaan arnab. Kandungan bakteria baik yang terdapat dalam EM4 ini samalah juga seperti bakteria baik yang terdapat dalam minuman yogurt, vitagen dan yakult. Rentetan itu, sayasukaarnab menyenaraikan beberapa kelebihan menggunakan EM4 ini dalam memelihara arnab :
a)      Mesra alam iaitu tidak memberi efek negatif terhadap benda hidup.
b)      Memperbaiki sistem penghadaman arnab ke arah lebih baik.
c)      Meningkatkan tahap tumbesaran arnab.
d)      Mengurangkan penghasilan bau busuk daripada najis arnab.
e) Mengurangkan pembiakan lalat, sekali gus mengurangkan kadar penyebaran penyakit terhadap arnab anda.
f)  Menjimatkan kos ubatan dengan mengurangkan penggunaan antibiotik untuk melawan patogen berbahaya yang menyerang arnab.
g)   Menghasilkan pendapatan sampingan iaitu baja organik tinja arnab yang baik untuk tumbesaran tumbuhan.

Manakala, berikut merupakan cara menyimpan EM4 :

a)   Sila simpan di kawasan kurang haba dan tidak bergoyang.
b)  Sila gunakan EM4 yang telah dibuka serta merta. Penjagaan yang baik membolehkan EM4 bertahan selama 2 bulan.
c)   Sila lepaskan gas yang terhasil dalam botol setiap hari dan ketatkan semula.
d)   Sila perhatikan perubahan bau EM4 setiap hari. Bau EM4 ialah masam-masam manis (seperti buah plum) dan jika berbau seperti telur tembelang, jangan gunakan lagi.

Berikut pula merupakan cara menggunakan EM4 :

a)   Sila gunakan air tidak berklorin untuk mencampurkan EM4 dalam penggunaan terhadap arnab anda.
b)      Sila campurkan 0.75 liter EM4 dengan 1.5 liter air tidak berklorin. Air campuran ini boleh digunakan sebagai air minuman arnab anda setiap hari. Campuran ini boleh juga digunakan sebagai air semburan pada sangkar arnab anda untuk menggurangkan bau najis arnab dan mengelakkan kehadiran lalat.

Melalui kebaikan EM4 ini, sayasukaarnab telah mendapatkan 3 liter EM4 ini daripada Saudara Nordin Arnab Pelangi (terima kasih ya).

air EM4 bewarna keperangan

Selepas penggunaan selama seminggu, kesan kebaikan EM4 ini jelas dapat dilihat, terutamanya dalam mengurangkan bau busuk najis my beloved rabbits. Jadi, jika sayasukaranab telah mencubanya, bagaimana pula peminat arnab diluar sana? Selamat mencuba =) 




Monday, 29 August 2011

UBAT SAKIT MATA ARNAB


Kini kondisi mata kiri Luna semakin beransur baik. 

keadaan mata Luna yang semakin pulih...

pandangan mata Luna daripada hadapan, kini tidak lagi membengkak...

Agak lama juga masa yang diambil untuk memastikan mata kiri Luna ini pulih seperti sediakala. Hanya ubat-ubatan dan regim rawatan yang ketat sahajalah dapat membantu agar keadaan mata Luna kembali pulih. Jadi disini aku ingin kongsikan ubat sakit mata arnab dan cara rawatan yang digunapakai sepanjang rawatan tersebut :

1)     Dettol
2)     Ubat mata titis (dipreskepsikan oleh vet)
3)     Ubat mata ointment, LC Oftalmolosa Cusi Genamicin 0.3%, made in Barcelona, Spain (dipreskepsikan oleh vet)
4)     Air bersih secukupnya dan kapas/tisu


1)     Paling utama, bersihkan sangkar arnab anda menggunakan DETTOL agar segala bakteria yang tidak diingini dapat dihapuskan.

gunakan Dettol untuk membasmi kuman pada sangkar arnab anda...

2)     Titiskan UBAT MATA TITIS (yang diperoleh daripada vet semasa rawatan mata Tyra dan Giorgio dahulu) setitis untuk sekali rawatan dan digunakan  sebanyak 4 hingga 6 kali sehari. Ubat mata titis ini berfungsi untuk memberi kelegaan kepada rengsa mata arnab dan menyingkirkan segala bendasing yang menghingapi mata arnab anda melalui proses pembentukan tahi mata.


ubat mata versi titis

3)     UBAT MATA OINTMENT digunakan selepas ubat titis. Ubat ini digunakan dengan cara ratakan ointment tersebut kepada anak mata (kalau arnab anda degil, sapukan sahaja pada kelopak mata) dan ratakan dengan tangan yang bersih agar keseluruhan mata mengenainya. Sapukan ubat ini untuk 2 hingga 3 kali sehari kerana ointment ini mampu bertahan lama pada mata arnab anda.


ubat mata ointment, LC Oftalmolosa Cusi Genamicin 0.3%

4)     AIR BERSIH SECUKUPNYA adalah untuk mencuci mata arnab anda terlebih dahulu sebelum anda apply semua ubat mata tersebut. Gunakan KAPAS atau TISU yang dilembapkan dengan air tersebut dan sapukan perlahan kepada mata arnab anda. Ulangi langkah ini untuk 2 hingga 3 kali.

5)     Itu sahaja. Mudah bukan? Selamat mencuba!



Tuesday, 16 August 2011

UBAT CIRIT-BIRIT ARNAB

Alhamdullilah, Giorgio kini semakin aktif dan bertambah cergas. Najisnya juga kembali berbentuk normal (bulat-bulat). Jadi disini, aku ingin berkongsi sedikit tips untuk menjaga dan merawat penyakit cirit-birit arnab. Bahan-bahan yang diperlukan ialah seperti berikut :

a)     Antibiotik (mengikut preskepsi vet)
b)     Yogurt / yakult
c)     ORS (oral rehydration therapy solution)
d)     Oat natural dan Hay
e)     Pil Chi Kit Teck Aun
f)     Dettol
g)     Picagari (untuk menyuap makanan dan ubatan)


1)     Langkah pertama ialah bersihkan sangkar, tubuh arnab dan segala bekas makanan arnab anda menggunakan DETTOL. Pastikan sangkar dan bekas makanan tersebut dibilas sebaiknya selepas dicuci menggunakan DETTOL tersebut.

sila gunakan DETTOL, 100% berkesan membunuh bakteria berbahaya

      Paling penting sentiasa pastikan tubuh arnab anda berada dalam keaadaan yang bersih daripada najisnya. Cukur atau gunting bahagian bulu yang sukar dibersihkan. Hal ini bagi mengelakkan bakteria dan patogen lain daripada merebak dan menjejaskan lagi kesihatan arnab anda.

2)     Sila singkirkan semua makanan dan minuman sedia ada arnab anda dan gantikannya dengan OAT NATURAL dan HAY serta ORS (oral rehydration therapy solution). OAT dan HAY membantu proses penstabilan ph dalam perut arnab anda. Maka kesakitan perut akan beransur-ansur berkurangan. 

OAT yang digunakan, pastikan natural...
     
     ORS pula membantu untuk memberikan tenaga dan menggantikan air yang hilang ketika diserang cirit-birit (ORS tu sama macam air garam yang selalu doktor provide bila manusia cirit-birit). Tidak sukar untuk anda mencuba sendiri untuk menghasilkan ORS ketika disaat genting, aku juga menghasilkannya sendiri (yalah, di sini klinik tutup pukul 6 petang, farmasi pukul 9.30 dah tutup, mana nak cari???). Dalam entry yang seterusnya aku akan ajar bagaimana untuk menghasilkan ORS.

3) Jika didapati arnab anda tidak menjamah sebarang makanannya, anda WAJIB menyuapkan sendiri makanan tersebut ke mulut arnab anda. Caranya ialah ambil 2 sudu kecil oat, sedikit gula (menambah tenaga) dan dibancuhkan dengan sedikit air suam. Kacau sebati dan disuapkan menggunkan PICAGARI.

dengan PICAGARI, kerja menyuap arnab yang degil menjadi lebih mudah...
     
     Sila berikan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap agar makanan dapat dihadam sebaiknya oleh perut arnab.

4)  Selepas itu, ambil 3 atau 5 biji PIL CHI KIT TECK AUN dan hancurkannya dalam air suam. Sedut menggunakan PICAGARI dan suapkan kepada arnab anda. Pastikan pil yang telah dihancurkan dihabiskan. 

pil ini walaupun untuk manusia, tetapi juga sangat berkesan kepada arnab anda...
     
     Pil ini berfungsi untuk menstabilkan perut arnab anda dan mengurangkan kadar cirit-birit serta kehilangan air dalam badan. Kedengaran agak janggal bukan? Tetapi aku telah mencubanya dan BERJAYA memulihkan arnab peliharaanku, anda pula bagaimana?

5)     Berikan arnab anda ANTIBIOTIK (seperti yang telah ditetapkan oleh vet) dan diikuti pula dengan pemberian YOGURT NATURAL atau YAKULT menggunakan PICAGARI. ANTIBIOTIK berfungsi membunuh semua bakteria dalam badan arnab, dengan memberikan YOGURT sebagai selingan akan dapat mengekalkan kewujudan bakteria baik dalam perut arnab, seterusnya menstabilkan kondisi perut arnab anda.

ANTIBIOTIK, sila titiskan ke dalam mulut arnab anda...(mengikut nasihat vet)

NATURAL YOGURT diberikan kepada arnab selepas pemberian antibiotik..

6)     Itu sahaja, selamat merawat dan meluangkan masa berkualiti bersama arnab anda. =)


**Semua ini berdasarkan rangkuman nasihat daripada vet, Puan Sofiyah, pembacaan di Google dan ibuku sendiri. Terima kasih kepada semua. Terpulang kepada anda semua untuk mencuba, tetapi jika sayasukaarnab berjaya memulihkan arnabnya, mengapa tidak anda?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...