Friday 14 October 2011

RABBIT BREEDING *PREGNANT RABBIT


Rentetan daripada entry RABBIT BREEDING *MATING PROCESS, sayasukaarnab ingin berkongsi sedikit pengalaman cara mengenalpasti kehamilan arnab. Selepas proses mengawan telah berjaya dilaksanakan, tandakan pada kalendar atau catatkan tarikh mengawan tersebut kerana anak arnab akan dilahirkan pada hari ke 28 hingga 32 daripada tarikh mengawan tersebut. 

sayasukaarnab menandakan tarikh tersebut pada kalendar

Berikut merupakan langkah yang sayasukaarnab amalkan dalam menentukan kehamilan arnab betina :

1.      Perhatikan mood arnab anda. Jika arnab anda mengandung, hormon tubuhnya menjadi tidak stabil (sepertimana juga manusia). Arnab akan menjadi lebih agresif dan tidak suka didampingi seperti selalu. Tyra sendiri merupakan seekor arnab yang agresif (sila rujuk entry ARNAB AGRESIF). Tetapi dalam fasa bunting ini, Tyra menunjukkan sifat agresif dengan mengigit dan menterbalikkan ke semua bekas makanan dan minumannya. Jadi sayasukaarnab terpaksa mengikat tali pada ke semua bekas tersebut bagi mengelakkan pembaziran. Pada awalnya sayasukaarnab memikirkan bahawa perkara ini merupakan kebiasaan bagi arnab (kerana Giorgio memang suka menterbalikkan bekas makanannya) dan Tyra memang arnab yang ganas. Tetapi bagi Tyra, perkara ini terjadi setelah proses mengawan berjaya dijalankan.

jelas bekas makanan dan minuman di ikat menggunakan tali rafia


2.      Perhatikan perbezaan kuantiti makanan yang dimakan. Biasanya jika bunting, arnab betina akan makan lebih banyak daripada kuantiti makanan yang biasa. Pertambahan berat badan arnab juga berlaku, terutamanya selepas masuk fasa akhir kehamilan iaitu hari ke 25 hingga 31. Giorgio dan Tyra adalah arnab yang kecil dan ringan iaitu sekitar 750 gram sahaja beratnya. Jadi kebiasaannya Tyra akan makan sedikit sahaja. Tetapi selepas bunting, sayasukaarnab perhatikan Tyra gemar makan alfalfa dan daun israel yang diberikan dan pastinya habis selepas dibiarkan semalaman. Tetapi, awas. Peringatan kepada semua, tidak semestinya arnab yang menunjukkan peningkatan kuantiti makanannya adalah bunting. Hal ini kerana Tyra juga telah menunjukkan peningkatan seleranya sebelum proses mengawan yang berjaya tersebut dijalankan. Kemungkinan besar peningkatan selera makan sebelum bunting juga menyumbang kepada peningkatan tahap kesuburan dan kesediaan arnab mengandung (ni mengikut pemerhatian sayasukaarnab sendiri kerana seperti wanita yang mengambil pil hormon kesuburan, nafsu makan dan berat badannya akan meningkat).

berselera sungguh Tyra menjamu selera daun Israel (rujuk entry MAKANAN ARNAB *DAUN ISRAEL)


3.      Lakukan proses ’palpate’ terhadap arnab anda. Proses ’palpate’ ialah proses meraba bahagian perut arnab anda untuk memastikan hadirnya embrio anak arnab sebesar sebiji anggur atau buah zaitun. Proses ini dijalankan pada usia kandungan 10-14 hari sahaja. Proses yang dijalankan selepas tempoh ini dikhuatiri akan menjejaskan tumbesaran anak arnab anda. Sayasukaarnab lakukan proses ’palpate’ ini dengan cara meletakkan Tyra diatas lantai dengan mukanya menghadap ke arah sayasukaarnab. Kemudian, sayasukaarnab gunakan tangan kanan untuk meraba perut Tyra dengan membentuk tangan seperti separa genggam (macam kita mahu genggam gelas) dan lurutkan tangan perlahan-lahan daripada bawah ke atas. Cubalah rasa menggunakan ibu jari dan 4 jari lain jika terdapat sebarang kelainan pada perut arnab seperti ada sebiji anggur ataupun buah zaitun. Jika ada, SAH ARNAB ANDA MENGANDUNG. Perhatian, lakukan proses ini dengan penuh BERHATI-HATI. Jika perlu, minta bantuan daripada rakan kerana pada tahap ini arnab anda akan menjadi lebih agresif kerana mood yang tidak menentu. Proses meraba juga perlu dilakukan dengan perlahan kerana takut mencederakan embrio anak arnab tadi. Jika tidak mahir, bawalah arnab anda berjumpa vet. Sayasukaarnab sendiri tidak berjaya dalam mengesan embrio anak arnab melalui kaedah ini kerana proses ‘palpate’ memerlukan individu yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.

Manakala berikut pula langkah yang dijalankan semasa due date arnab yang hamil :

1.      Perhatikan kelainan pada sangkar arnab anda pada hari ke 25 hingga 31. Kebiasaannya, arnab betina yang mengandung akan mula membuat sarang menggunakan hay dan sebarang objek lembut yang terdapat dalam sangkarnya seperti surat khabar, kain mahupun dedaun kering. Arnab betina akan mengutip semua bahan ini menggunakan mulutnya dan mengumpulkannya di suatu sudut tertentu. Bahan ini akan disusun mengikut kreativiti arnab anda. Pada masa ini, nest box sangat sesuai untuk dimasukkan dalam sangkar. Kemudiannya, arnab anda akan mencabut bulu dibahagian dada dan perutnya dan disusun di dalam sarangnya. Jika hal ini berlaku, KELAHIRAN AKAN BERLAKU DALAM TEMPOH 24-48 JAM. Tyra sendiri telah mula membina sarangnya pada hari ke 29 setelah nest box dimasukkan dalam sangkarnya. Setelah mencabut bulunya pada pagi hari ke 30 kehamilan, petangnya Tyra telah selamat melahirkan 3 ekor anak rabbit. Perhatian, jika keadaan ini berlaku pada usia 15 hari kehamilan, situasi ini dinamakan bunting palsu iaitu arnab betina berasakan bahawa dia menggandung, sedangkan tidak. Setelah 24 jam daripada tempoh kehamilan palsu ini disedari, arnab betina boleh dimatingkan semula.

Tyra khusyuk menyiapkan sarangnya


2.      Perhatikan sebarang pergerakkan ganjil pada perut arnab anda. Pada hari ke 25-32, pergerakkan anak arnab dalam perut ibunya boleh dilihat dengan ketara. Jika bulu arnab anda panjang, anda boleh meletakkan tangan anda dengan perlahan ke perut arnab anda. Tunggu dalam beberapa saat, anda akan rasa tiba-tiba sahaja ada pergerakkan kecil pada perut arnab anda. Namun, sila bezakan dahulu pergerakkan tersebut adalah daripada jantung ataupun anak arnab. Sayasukaarnab telah mencuba kaedah ini pada hari ke 26 dan 27 kehamilan Tyra. Tangan diletakkan pada perut Tyra dan beberapa saat kemudian rasa seperti ada pergerakkan kecil yang menyentuh tangan sayasukaarnab. Jika ini berlaku, sah ARNAB ANDA MENGANDUNG.

3.      Perhatikan kuantiti makanan yang dimakan. Pada tahap due date, arnab anda akan makan sebanyak mungkin pada hari sebelum membuat sarang. Pada fasa membuat sarang, arnab anda tidak akan mengendahkan langsung dengan makanan yang diberikan dan akan fokus dengan membuat sarangnya sahaja. Arnab anda akan memungut semua bahan dan kumpulkannya, kemudian berehat dan menyambung tugasannya dalam beberapa minit selepas itu. Tyra juga begitu. Maka pada tahap due date, barulah sayasukaarnab confirm 100% bahawa Tyra mengandung kerana jelas Tyra menunjukkan ke semua petanda due date tersebut.

lihat sahaja makanan yang masih penuh dalam tray makanan Tyra


Begitulah amalan yang dilakukan sayasukaarnab dalam menentukan kehamilan Tyra. Sayasukaarnab akan menunjukkan persediaan sebelum kelahiran anak arnab dalam entry RABBIT BREEDING *PREPARATION FOR KINDLING kelak. Jadi, sendaloka di zaman purba, selamat mencuba. =)



1 komen:

  1. Tumpang tnya..takpa ke jika kita tak letak nest box je..saye letak tempayan..takpe ke??

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...