Saturday, 26 May 2012

MEMBIAKBAKAKAN ARNAB *MIRANDA, ARNAB MINI REX BERANAK



Dalam entry lepas iaitu VITAMIN UNTUK ARNAB *NEUROVIT, sayasukaarnab ada memberitahu tentang kebaikan penggunaan multivitamin tersebut. Kesan ketara penggunaan multivitamin ini ialah dapat dibuktikan melalui kelahiran sulung Miranda Eve telah berjaya. Pada 19 Mei 2012 yang lepas, Miranda telah melahirkan 4 ekor kits (1 mati ketika dilahirkan). Hal ini pastinya amat dinantikan sayasukaarnab dan keluarga, sementelah kelahiran Luna yang lalu tidak berjaya diselamatkan.

Seawal hari ke-23 bunting, Miranda telah bersedia menyusun hay di suatu sudut sangkarnya. Bulu badannya turut dicabut sedikit demi sedikit. Hal ini telah menjadikan sayasukaarnab sedikit gusar kerana hal ini terlalu awal untuk seekor arnab bersedia untuk beranak. 

sedia mengangkut hay untuk disusun menjadi sarang

mencabut bulu badan

Setelah pemberian multivitamin Neurovit, Miranda ternyata lebih santai dan tidak terlalu stress. Biarpun nestbox diletakkan dalam sangkarnya pada hari ke-29 bunting, tiada langkah-langkah persediaan untuk melahirkan pula dilakukannya. Sedikit masa diambil, barulah Miranda memulakan tugasnya menyusun hay dalam nestbox. Kemudiannya pada hari ke-30 bunting, barulah bulu badannya dicabut sepenuhnya. 

hay disusun dalam nestbox

barulah penuh nestbox dengan gumpalan bulu

Sayasukaarnab menjangkakan untuk Miranda beranak pada hari ke-30 mahupun pagi hari ke-31, namun setelah puas menanti, masih tiada hasil. Tup, tup, kits dilahirkan pada 1.15 tengahari pada hari ke-31 bunting.

ketika baru beberapa minit beranak..kits paling kiri mati ketika dilahirkan

Mujur 3 daripada 4 kits yang dilahirkan selamat. Takut juga sayasukaarnab anak yang dilahirkan stillborn (sepertimana yang terjadi kepada Selita tempoh hari) mahupun anak tidak boleh keluar sebab besar kerana inilah pertama kali Miranda beranak.

kits yang mati, sempurna, sederhana saiznya (macam yang lain-lain) dan mungkin mati kerana dilahirkan paling akhir

Sayasukaarnab turut meragui kemampuan Miranda untuk menjaga dan menyusui anaknya dengan baik kerana merupakan induk muda, kurang pengalaman dan saiz badannya kecil. Namun, apa-apa yang dirunsingkan dapat diuraikan kerana sehingga hari ini, anak-anak Miranda montel-montel hasil jagaannya. Bagi memastikan bekalan susu Miranda sentiasa ada dan tidak stress, sayasukaarnab senantiasa memastikan pellet, alfalfa hay dan oat sentiasa ada dalam sangkarnya. Begitu juga Neurovit akan diberikan 0.5ml diwaktu pagi dan 0.5ml diwaktu malam. Hal ini bagi memastikan tubuh Miranda sentiasa dibekalkan dengan nutrien, vitamin dan tenaga yang cukup.

selepas seminggu dijaga Miranda Eve

bulat-bulat semuanya =)


Semoga anak-anak Miranda ini akan terus membesar dengan jayanya. Bagi pengetahuan semua, dalam bulan Mei ini, bukan sahaja Miranda berjaya melahirkan kits, malahan terdapat lagi seekor arnab teddy bear yang sudah pun melahirkan anaknya. Nantikan kisah generasi ke-2 arnab teddy bear dalahttp://sayasukaarnab.blogspot.com/. =)


Saturday, 19 May 2012

VITAMIN UNTUK ARNAB *NEUROVIT



Persediaan lebih rapi dilakukan sayasukaarnab demi memastikan peristiwa kematian kits tidak akan berulang. Disebabkan sukar untuk mendapatkan perkhidmatan vet untuk membeli vitamin dan keperluan arnab (rumah sayasukaarnab jauh daripada vet klinik), jadi berdasarkan nasihat breeder arnab, pembacaan dan pencarian di laman maya, sayasukaarnab telah menemukan sejenis vitamin yang berfungsi secara menyeluruh bukan sahaja kepada ibu arnab, malahan juga kepada anak-anak arnab tersebut. Pernahkah anda mendengar sejenis multivitamin yang digelar Neurovit? Ya, itulah nama multivitamin yang telah sayasukaranab uar-uarkan dalam entry yang lepas. Berikut merupakan antara ciri-ciri dan fungsi multivitamin Neurovit :

1) Multivitamin ini terdapat dalam botol berkapasiti 120ml.

Neurovit (120ml)

2) Multivitamin ini diberikan kepada arnab secara oral, pastinya dengan menggunakan picagari.

Neurovit dan picagari

3) Sukatan pemberian Neurovit bergantung kepada berat badan arnab anda. Contohnya: Arnab 1kg : Neurovit 1ml

1ml Neurovit : 1kg arnab

4) Fungsi Neurovit ini adalah untuk meningkatkan tenaga dan daya tahan arnab anda daripada kekurangan nutrisi. Hal ini bermakna, vitamin ini bertindak bukan sahaja sebagai suppliment yang boleh membantu memberikan tenaga kepada arnab anda, tetapi turut dapat menjadikan arnab anda sihat dan kuat.

kepelbagaian jenis vitamin yang mempelbagaikan fungsi Neurovit

5) Apabila nutrisi yang mencukupi dapat diserap oleh tubuh arnab, maka daya rintangan arnab anda terhadap penyakit adalah tinggi. Oleh itu, arnab kurang diserang penyakit berbahaya dan kos rawatan arnab dapat dikurangkan.

6) Selanjutnya, dengan adanya bekalan nutrisi yang cukup, pejantan atau buck akan dapat berkhidmat dengan baik sebagai pembaka ketika proses mating. Hal ini akan meningkatkan kebernasan bagi satu-satu proses mating.

7) Apabila masalah kekurangan nutrisi dapat diatasi, maka kuantiti susu pada ibu mengandung dan menyusukan kits dapat ditingkatkan. Hal ini bermakna, tiadalah lagi masalah dam kurang susu dan kits tidak cukup susu (kurus).

8) Neurovit turut membantu anak-anak arnab membesar dengan baik iaitu dengan memberikan bekalan kalsium kepada pembentukan tulang arnab anda. Jika vitamin ini diamalkan sedari awal kehamilan, pastinya kits yang berkualiti dan sihat mampu dilahirkan.

9) Bukan itu sahaja, ibu arnab yang baru beranak serta buck dan doe yang kurang sihat akan mampu disembuhkan dengan segera jika mengamalkan penggunaan Neurovit ini.

10) Paling penting, Neurovit mampu mengatasi masalah stres arnab. Sebelum ini, sayasukaarnab ada menyatakan yang kelahiran tahun ini tidak berjaya disebabkan arnab stres bukan. Maka dengan adanya multivitamin ini masalah stress dalam kalangan arnab dapat dikurangkan.

Tetapi awas, penggunaan multivitamin ini haruslah dimulakan daripada awal dan secara berterusan agar segala kebaikan yang dinyatakan tadi diterima arnab secara menyeluruh. Segala info yang disenaraikan adalah daripada maklumat daripada breeder arnab, pembacaan, pencarian di laman maya serta testimoni daripada sayasukaarnab sendiri. Mahu tahu hasil penggunaan Neurovit ini kepada sayasukaarnab beloved rabbits? Silalah nantikan di entry yang akan datang dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/


*Bagi mendapatkan dan mengetahui tentang multivitamin Neurovit ini dengan lebih lanjut, anda bolehlah berhubung dengan pemilik Newhillz Rabbitry. Terima kasih En.Haril =)


Wednesday, 16 May 2012

MEMBIAKBAKAKAN ARNAB *SELITA, ARNAB TEDDY BEAR BERANAK



Seperti yang dimaklumkan dalam entry MEMBIAKBAKAKAN ARNAB *GENERASI KE-2 ARNAB TEDDY BEAR, pada tanggal 20 April 2012, Selita Lily generasi pertama arnab teddy bear sayasukaarnab telah berjaya melahirkan 2 ekor kits. Persediaan yang dilakukan Selita amat rapi iaitu telah mula mengonggong hay dan menyusunnya disuatu sudut sangkarnya (untuk dibuat sarang) sedari hari ke-25 bunting. 

lihat hay yang tergonggong di mulut Selita, diguna untuk buat sarangnya

Setelah nest box diletakkan dalam sangkarnya pada hari ke-28 bunting, Selita kerap menyusun hay dan kelihatan sibuk membuat persediaan sarangnya sebelum kelahiran sulung. 

Selita bekerja keras menyusun hay

Bulunya dicabut pada hari ke-29 bunting dan sayasukaarnab menjangkakan Selita akan melahirkan anaknya pada malam tersebut. Keesokkan paginya iaitu hari ke-30 bunting, didapati sarangnya hanya dipenuhi gumpalan bulu yang dicabut sahaja.

bulu Selita yang telah dicabut memenuhi nest box


Setelah puas menanti, pada malam hari ke-30 tersebut anak Selita dilahirkan sempurna dan besar saiznya berbanding Tyra’s kits. Tetapi malangnya, anak Selita telah mati sedari awal kelahiran. Anaknya dilahirkan diluar nesting box dan terdapat kelukaan kecil dikaki salah seekor daripada anaknya (kesan digigit Selita). Hal ini mungkin disebabkan Selita mahu membersihkannya daripada uri dan darah. 

Selita's kits yang telah mati. lihat kits sebelah kiri, kakinya berdarah dan luka

Hal ini bermakna, kelahiran bagi bulan April ini tidak membuahkan sebarang hasil. Hal ini mungkin dipengaruhi oleh faktor cuaca (sepanjang tempoh bunting kedua-dua arnab tersebut, keadaan cuaca adalah panas. Biarpun semua arnab diletakkan dalam rumah dan disediakan kipas angin, namun haba yang terhasil mampu mengakibatkan arnab stress) dan kurangnya pemberian vitamin oleh sayasukaarnab. Implikasi daripada kesemua faktor tersebut didapati arnab akan mengalami stress dan seterusnya mengakibatkan arnab kurang bersedia untuk melahir dan menjaga anaknya serta tidak menghasilkan susu badan yang mencukupi buat anaknya. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah kelahiran kali ini tidak berjaya.

Bagi memastikan keadaan ini tidak berulang, kini sayasukaarnab siap siaga mendapatkan vitamin yang mengandungi beberapa jenis khasiat dan berupaya menangani stress arnab daripada breeder yang lebih berpengalaman. Ingin tahu bagaimanakah rupa bentuk dan apakah kebaikan vitamin tersebut? Nantikan entry sayasukaarnab yang terbaharu dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/


Wednesday, 9 May 2012

MEMBIAKBAKAKAN ARNAB *GENERASI KE-2 ARNAB TEDDY BEAR



Pada 16 dan 20 April 2012 yang lepas, Tyra dan Selita (anak Tyra) telah pun berjaya melahirkan 5 ekor kits (masing-masing 3 ekor dan 2 ekor). Sememangnya kelahiran ini amat dinanti sayasukaarnab, sementelah tiada kelahiran semenjak musim 2012 ini bermula. Namun sayangnya, kesemua Tyra’s kits mati sebelum sempat membesar. Kelihatan kali ini Tyra seakan tidak cukup bersedia dengan kelahiran anaknya, lantaran bulu yang dicabut tidak menyeluruh serta 2 ekor anak dilahirkan dilantai dan seekor dalam nest box (bersepah). Seekor daripada anak Tyra telah mati seawal kelahiran kerana terbelit dalam gumpalan bulu Tyra yang dicabut untuk nest box nya (lihat sahaja bulunya yang semakin gebu daripada sehari ke sehari, panjang dan berselirat). 

anak arnab Teddy Bear yang mati selepas dilahirkan

Manakala baki 2 ekor lagi diharapkan dapat membesar dengan jayanya, walaupun seeekor didapati sangat kecil (peanut). Habis bulu bahagian bawah badan Tyra digunting bagi memudahkan anaknya menyusu. Lantaran disebabkan kit peanut tersebut kelihatan macam tak dapat menyusu secukupnya daripada Tyra, so susu diberikan secara manual oleh sayasukaarnab dengan memegang ibunya serta diletakkan peanut tadi diperut ibunya untuk menyusu.

lihat perbezaan saiz, seekor kecil, peanut (kanan) dan seekor lagi sederhana (kiri)


Namun, masuk hari ke-3, pulang sahaja daripada sekolah sayasukaarnab melihat sekujur tubuh anak arnab yang sempurna telah kaku. Setelah diasingkan daripada nest box dan diteliti, tiada tanda yang menunjukkan punca anak ini mati maka sayasukaarnab menyimpulkan mungkin telah dipijak oleh Tyra. Jadi yang tinggal hanyalah kit peanut tersebut dan rutin pemberian susu secara manual diteruskan (dalam hati sayasukaarnab hanya berdoa agar anak ini pergi sahaja daripada tersiksa begini sebab tak berapa sempurna kejadiannya). Maka seperti yang telah dijangkakan, malam tersebut anak itu telah pun pergi buat selamanya. Kelahiran kali ini biarpun meninggalkan kesedihan dalam diri, tetapi sayasukaarnab percaya pengalaman sebegini mengajar untuk terus-menerus berusaha memantapkan diri dengan ilmu dan pengalaman yang lebih dalam bidang arnab, seperti kata-kata Joseph Conrad yang berbunyi "Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat."

Ingin tahu apakah yang terjadi kepada kelahiran sulung Selita Lily? Nantikan entry yang seterusnya dalam http://sayasukaarnab.blogspot.com/


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...