Saturday, 31 March 2012

R.I.P LUNA VERUSHKA DUCHESS (MINI REX DIED)


Tanggal 28 Mac 2012 menyaksikan Luna Verushka Duchess, seekor arnab mini rex berusia 9 bulan telah pergi selamanya. Dipelihara semenjak usia 2 bulan, Luna tidak pernah mendatangkan sebarang masalah kepada sayasukaarnab. Hanya masa yang minima diperlukan untuk memeliharanya iaitu grooming 3 hari sekali (menggunakan sikat berus) dan makan apa-apa sahaja jenis makanan arnab yang diberi. Kemudian apabila menginjak usia matang, Luna dipasangkan dengan Marc Klien, seekor mini rex tort. Diharapkan pasangan ini mampu membiakbakakan mini rex disini. Sayangnya, tanpa sebarang baka yang diperturunkan dan sedang berada dalam keadaan sarat bunting (due date), Luna mati tanpa sempat melahirkan. Walaupun sayasukaarnab membawanya berjumpa dengan vet (biar pun ketika itu klinik haiwan telah pun tutup dan memerlukan sayasukaarnab mencari dan mengetuk rumah vet), tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi. Tubuh Luna telah pun terkujur kaku.

Biarpun ajal yang bakal menimpa Luna ini seakan dapat dihidu sayasukaarnab sedari awal, namun sayasukaarnab tetap menjaga Luna sebaik yang mungkin. Pada 24 Mac 2012, Luna telah menunjukkan tanda-tanda due date iaitu tidak mahu makan dan asyik berehat. Bagi sayasukaarnab itu sememangnya suatu kemestian bagi arnab yang menanti masa untuk melahirkan anak. Namun hari berganti hari, sehingga ke tanggal 26 Mac 2012 Luna masih tidak melahirkan anak dan tidak mahu menjamah sebarang makanan sehinggakan tubuhnya semakin kurus mencekung. Paling ketara adalah pada tubuhnya yang dahulu munggil, kini kurus (sehingga dapat dilihat ruas-ruas tulang selangkanya) dengan perut yang memboyot. Akhirnya, sayasukaarnab mengambil keputusan untuk menyuapkan oat yang dibancuh menggunakan picagari kepada Luna.

Diharapkan, sekurang-kurangnya dengan adanya oat ini dapat membekalkan tenaga kepada Luna agar terus bertahan sehingga melahirkan anak. Tidak kira siang dan malam, Luna sentiasa akan dipastikan mendapat oat yang secukupnya. Bangun sahaja daripada tidur, sangkar Lunalah yang akan dituju dahulu. Puas Luna dibelek itu dan ini diberikan itu dan ini, barulah sayasukaarnab lakukan rutin kerja seperti selalu. Pulang daripada sekolah, sangkar Luna jugalah yang dituju. Usai dibelek dan diberikan makan, barulah sayasukaarnab lakukan tugas lain. Setiap sejam sekali, sayasukaarnab pasti akan menjengah sangkar Luna untuk memastikan Luna berada dalam keadaan yang baik. Tengah malam sebelum sayasukaarnab tidur, Luna jugalah yang dilihat dahulu. Boleh dikatakan pada hari-hari terakhir Luna di rumah ini, rutin hidup sayasukaarnab telah berubah. Luna menjadi keutamaan, segala-galanya tentang dia. Namun sudah ketentuan-Nya, Luna pergi juga tanpa sempat melahirkan anak. Pada saat Luna ingin pergi, tiada apa-apa lagi yang diharapkan sayasukaarnab selain mahu melihat dia pergi dengan keadaan yang aman dan tenteram. Biarlah jasad Luna disemadi, namun segala sejarah Luna akan terus terpahat disini. Semoga Luna bersemadi dengan tenang di sana.

Video berikut merupakan momen terakhir Luna Verushka Duchess bersama sayasukaarnab. Perut Luna yang sarat dapat dilihat dengan jelas kerana rakaman ini dilakukan pada malam sebelum Luna menemui ajalnya.

Setidak-tidaknya dengan adanya video ini, terubatlah rindu sayasukaarnab pada Luna kelak. Sayonara Luna =(


*Terima kasih yang tidak terhingga kepada para blogger dan penternak arnab yang sudi menjadi tempat rujukan sayasukaarnab sepanjang proses merawat Luna. Semoga dengan adanya bantuan daripada kalian akan dapat membantu sayasukaarnab untuk menjadi pencinta arnab yang lebih berkualiti dan tabah kelak.



Friday, 17 February 2012

UBAT KURAP ARNAB


Berdasarkan ciri-ciri arnab dijangkiti kurap dalam entry lepas, bahan yang digunakan untuk mengubati kurap arnab adalah seperti berikut :
1.      Bexton (Ivermectin 0.1% Oral Solution)
2.      Picagari tanpa jarum
3.      Dettol

 Bexton (Ivermectin 0.1% Oral Solution)

Picagari tanpa jarum
pi
Dettol pembasmi kuman


Seterusnya langkah-langkah dalam mengubati kurap arnab adalah seperti berikut :
1.      Sediakan Bexton, picagari dan Dettol. Pastikan picagari tersebut adalah baru mahupun telah disterilkan terlebih dahulu bagi membasmi sebarang kuman.

sediakan bahan-bahan yang diperlukan

2.      Sukat Bexton menggunakan picagari mengikut kuantiti yang disyorkan. Sayasukaarnab akan memberi my beloved rabbits Bexton mengikut berat badannya (berdasarkan pengalaman rawatan di klinik haiwan terdahulu yang telah terbukti berjaya mengubati kurap arnabku). Contoh : 0.7kg – 0.7ml. Tetapi bagi siapa-siapa yang masih ragu, sila patuhi jadual dibawah.

sukat Bexton gunakan picagari

Bexton dosage

3.      Berikan kepada arnab. Pastikan Bexton tersebut masuk ke dalam mulut dan arnab anda benar-benar menghabiskannya.

4.      Berikan Bexton dalam tempoh selang 2 minggu. Contoh : kali pertama – 1 Februari 2012, kali kedua – 14 Februari 2012 dan kali ketiga – 28 Februari 2012.

5.      Setelah 3 kali rawatan, kuping kurap akan tertanggal dan kesannya hilang dengan sendirinya. Pastikan arnab anda dirawat tidak lebih daripada 3 kali. Sekiranya rawatan yang berikutnya diperlukan, sila selang 2 bulan kemudian. Hal ini bagi mengelakkan berlakunya keimunisasian Bexton iantu kurap arnab sudah lali dengan Bexton dan tidak boleh dihapuskan menggunakannya lagi.

6.      Paling penting, pastikan keadaan persekitaran sangkar arnab berada dalam keadaan bersih dan selamat. Gunakanlah pembasmi kuman seperti Dettol untuk membersihkan kawasan persekitaran arnab dan anggota tubuh anda yang terkena arnab yang berkurap. Hal ini bukan sahaja dapat menghalang daripada kurap menjangkiti arnab semula, malah turut mengelakkan daripada kurap tersebut menjangkiti anda.

*PERINGATAN : Jangan berikan Bexton kepada bunnies yang berusia dibawah 3 bulan dan arnab yang sedang bunting. Hal ini kerana dikhuatiri kesan sampingan Bexton yang boleh memudaratkan kesihatan arnab tersebut. Segala langkah berkenaan adalah berdasarkan pengalaman sayasukaarnab yang tidak seberapa ini. Jadi terpulang kepada pencinta arnab diluar sana untuk mengaplikasikan langkah-langkah ini dalam merawat arnab anda.

Bagi pengetahuan semua, Bexton dapat membasmi kurap (hama), di samping cacing dalaman badan arnab. Bekalan Bexton juga boleh didapati daripada penternak arnab yang boleh dihubungi melalui laman maya. Itu sahaja, selamat mencuba.



Saturday, 11 February 2012

CIRI-CIRI ARNAB DIJANGKITI KURAP


Penyakit kurap merupakan antara penyakit yang paling popular menyerang arnab. Sayasukaranab juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah ini ketika awal-awal memelihara Tyra dan Giorgio. Hal ini boleh disebabkan oleh keadaan persekitaran sangkar yang kurang kondusif dan tercemar, hidup dalam kelompok arnab yang telah dijangkiti kurap mahupun bawaan induk. Bagi pencinta arnab amatur seperti sayasukaarnab, jalan termudah untuk merawat kurap ini ialah dengan berkunjung ke klinik haiwan yang berdekatan. Tetapi dengan cara ini kos yang tinggi diperlukan kerana setiap kali rawatan bersama vet memerlukan kita untuk membayar kos ubat-ubatan berserta konsultansi. Hal ini pastinya merunsingkan penternak arnab secara besar-besaran, bayangkanlah kos yang diperlukan untuk rawatan kurap bagi kuantiti arnab yang melebihi 20 ekor, sudah tentu tinggi!

Lantaran itu, resolusi yang telah diamalkan sayasukaarnab ialah dengan melakukan rawatan sendiri. Paling utama, kenali dahulu penyakit arnab anda, adakah your beloved rabbit dijangkiti penyakit kurap mahupun penyakit yang lain? Seterusnya, adakah arnab anda mempunyai alergi terhadap sebarang ubat-ubatan kimia? Menerusi pengalaman terdahulu sayasukaarnab, apabila arnab kesayangan anda dijangkiti Cheyletiella parasitovorax atau lebih dikenali sebagai kurap iaitu hama yang menjangkiti bahagian kulit badan dan telinga arnab anda, maka ciri-ciri jelas yang dapat dilihat ialah seperti berikut :

1.     Kehilangan bulu dibahagian tertentu anggota tubuh arnab. Biasanya kehilangan bulu ini sehingga menampakkan kulit arnab. Kerap berlaku dibelakang tengkuk, kaki, bahagian bawah badan dan telinga arnab (tetapi sila bezakan terlebih dahulu samada arnab sedang mengalami molting atau dijangkiti kurap).

kehilangan bulu dibahagian tengkuk antara tanda-tanda awal arnab anda dijangkiti kurap...

2.   Wujudnya kupingan/kerak dibahagian permukaan kulit. Berwarna keputihan, keras dan tiada bulu dibahagian tersebut. Acapkali arnab akan menggaru dibahagian tersebut sehingga kupingan tersebut semakin menebal jika tidak diberikan rawatan segera. Hakikatnya, darah yang terhasil kesan cakaran/garuan arnab tersebutlah yang menjadi makanan kepada hama tersebut. Kerak yang semakin menebal tersebut merupakan  sel kulit mati dan koloni ribuan dan mungkin juga jutaan hama yang menjangkiti arnab anda.

kurap dibahagian kaki Tyra dahulu yang berkuping-kuping...

kurap dibahagian telinga digaru sehingga terjadinya luka kecil dan akhirnya nanti akan membentuk kerak yang berkuping...


Jika arnab anda menunjukkan salah satu atau kedua-dua daripada ciri-ciri diatas, maka YA arnab anda telah dijangkiti kurap. Sila lakukan rawatan dengan segera sebelum terlambat kerana kurap bukan sahaja boleh menjangkiti arnab lain, membawa maut kepada arnab tersebut malah turut menjangkiti manusia. Nantikan entry seterusnya tentang Ubat Kurap Arnab dalam sayasukaarnab.blogspot.com. Selamat membaca J



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...