Friday 26 October 2012

UBAT CIRIT-BIRIT ANAK ARNAB



Kebelakangan ini, beberapa pertanyaan diajukan oleh pencinta arnab di luar sana kepada sayasukaarnab mengenai ubat cirit-birit yang sesuai untuk anak arnab. Setakat ini, sayasukaarnab tidak berapa pasti ubat yang paling sesuai untuk diberikan kepada anak arnab yang cirit-birit kerana sayasukaarnab masih belum mengalami masalah sedemikian. Walaupun begitu, menerusi rujukan daripada breeder dan pencinta arnab yang lebih berpengalaman, sayasukaarnab telah menemui beberapa bahan yang sesuai bagi mengatasi masalah cirit-birit anak arnab.

Jikalau anak arnab baru sahaja diserang cirit-birit, cuba berikan minuman kultur hidup seperti Yakult atau yogurt natural menggunakan picagari. Cukup dengan memberikan sedikit demi sedikit, kuantitinya bergantung kepada usia anak arnab. Yakult atau natural yogurt berkesan kerana mengandungi kultur hidup (bakteria baik) yang mampu melawan patogen (bakteria jahat) untuk menstabilkan kembali ph perut anak arnab.

natural yogurt

picagari


Manakala jika berterusan, gunakanlah pil chi kit teck aun tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Cukup sekadar 2-3 biji dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada anak arnab menggunakan picagari. Pil chi kit teck aun mengandungi arang yang mampu menutralkan ph perut anak arnab, malahan juga arnab dewasa.

pil chi kit teck aun


Tetapi jika ingin gunakan bahan secara alami, bolehlah dicuba pucuk jambu batu. Ambillah pucuk jambu batu dan dihancurkan bersama air suam dan diberikan kepada kits menggunakan picagari. Pucuk jambu batu dipercayai mampu menyembuhkan masalah cirit-birit bukan sahaja arnab, tetapi juga manusia itu sendiri. Bagi langkah ini, disarankan agar pencinta arnab berhati-hati kerana pucuk jambu batu (daun hijau) masih asing terhadap perut anak arnab. Maka penggunaannya haruslah diawasi.

pucuk jambu batu


Itu sahaja. Segala proses pemberian ubat cirit-birit anak arnab haruslah dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Ingat, kuantiti ubatan tersebut juga perlu bergantung kepada usia dan berat anak arnab. Selamat mencuba.


*segala gambar adalah ehsan Google. Terima kasih Google.


Wednesday 17 October 2012

PUNCA ARNAB CIRIT-BIRIT *ARNAB PERUT KEMBUNG ATAU BLOAT DISEASE


Dalam entry lepas MAKANAN ARNAB *SAYUR BERBAHAYA, sayasukaarnab ada menyenaraikan makanan arnab berbahaya yang boleh mengakibatkan penyakit masalah perut kembung dan jika tidak dirawat segera akan mengakibatkan kematian kepada arnab. Masalah tersebut juga dikenali sebagai ‘bloat disease’. Berikut merupakan antara sorotan gambar menunjukkan arnab yang telah mati disebabkan masalah perut kembung atau bloat disease tersebut.

arnab yang telah mati

postmortem dilakukan bagi mengetahui punca kematian

usus dan perut arnab tersebut

abdomen paling kanan adalah perut arnab, agak kembung bukan?

usus besar arnab

perut arnab

setelah postmortem, didapati kematian arnab disebabkan perut kembung atau bloat disease


Agak menggerunkan bukan? Jika arnab anda telah mengalami masalah perut kembung kronik sebegini, caranya hanya dengan menebuk bahagian perut arnab tersebut dengan suatu alatan khas untuk mengeluarkan gas yang terperangkap dalam perut arnab tersebut. Amalan ini biasanya diamalkan oleh penternak untuk haiwan ternakan seperti kambing dan juga lembu. Jika berkesempatan, sayasukaarnab akan kongsikan langkah-langkah tersebut. Tetapi, pencinta arnab di luar sana harus ingat, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Lantaran itu, jangan berikan arnab anda makanan sebarangan, ketahuilah fungsi dan kesan makanan tersebut terlebih dahulu sebelum diberikan kepada arnab yang tersayang.



*Terima kasih kepada Apartment Rabbit Farm kerana sudi berkongsi gambar untuk tatapan bersama.



Wednesday 10 October 2012

MAKANAN ARNAB *SAYUR BERBAHAYA



Senario pemeliharaan arnab di Malaysia dilihat masih tidak mementingkan kualiti pemakanan arnab itu sendiri. Sayasukaarnab juga tidak terkecuali, mujurlah sayasukaarnab tidak terlalu berani mencuba sesuatu yang drastik kepada my beloved rabbits. Semua perlu tahu, dengan hanya mencampakkan pellet (tidak kisah cap apa pun) ke dalam bekas makanan arnab dan kadangkala memberikan buah-buahan busuk mahupun sayur-sayuran, dedaun yang dipetik di halaman rumah kepada arnab kita merupakan antara etika yang tidak wajar dilakukan oleh pencinta arnab. Perkara sebegini hanya akan memberikan impak buruk kepada kadar nutrisi arnab, bahkan boleh membawa maut. Ingatlah, arnab tidak boleh makan makanan yang tidak akan dimakan oleh manusia (seperti buah dan sayur-sayuran lebihan yang telah busuk serta berbahaya). Memanglah kalau kita letakkan dalam sangkar arnab, semuanya akan habis dimakan. Kesannya pasti nanti akan menjejaskan kesihatan arnab.

Sayur yang paling mudah didapati dimana-mana pasaraya, tetapi tidak boleh diberikan kepada arnab ialah salad iceberg ataupun lebih dikenali sebagai ‘iceberg lettuce’. Salad ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana menjadi kegunaan seharian kita, terutamanya sebagai hidangan masakan.

beginilah pokok sayur iceberg lettuce

jikalau ingin dijadikan hidangan, sayur ini akan dibelah dan diracik...

Salad ini mengandungi susu getah yang berwarna putih dan boleh diekstrak untuk digunakan oleh manusia sebagai pengkhayal dalam ubat-ubatan. Namun jika diberikan kepada arnab, arnab anda akan mengalami kekembungan dan boleh berlaku cirit-birit. Hal ini kerana sayur ini akan menghasilkan gas ketika proses penghadaman berlangsung dan arnab tidak boleh sendawa untuk mengeluarkan angin yang terkumpul dalam perut. Jadi kekembungan ini akan mengakibatkan cirit-birit yang melampau, seterusnya kematian arnab tersayang.

beginilah rupa susu getah yang terhasil daripada sejenis pokok daripada keluarga lettuce


Antara sayuran lain yang dianggap berbahaya dan sama kesannya seperti salad iceberg kepada arnab adalah daun pokok kentang, daun pokok tomato dan kobis. 

daun pokok kentang

daun pokok tomato

pokok sayur kobis

sayur kobis yang sedia dibelah

Jadi, jangan berikan arnab anda sayur-sayuran tersebut (walaupun arnab anda kelihatan suka akannya) agar masalah perut kembung, cirit-birit dan kematian arnab tidak berlaku. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Selamat mencuba =).


*p/s:keseluruhan gambar credits to Google (yela di rumah sayasukaarnab manalah ada sayur-sayuran ini..hehe). Thanks Google.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...