Saturday 31 March 2012

R.I.P LUNA VERUSHKA DUCHESS (MINI REX DIED)


Tanggal 28 Mac 2012 menyaksikan Luna Verushka Duchess, seekor arnab mini rex berusia 9 bulan telah pergi selamanya. Dipelihara semenjak usia 2 bulan, Luna tidak pernah mendatangkan sebarang masalah kepada sayasukaarnab. Hanya masa yang minima diperlukan untuk memeliharanya iaitu grooming 3 hari sekali (menggunakan sikat berus) dan makan apa-apa sahaja jenis makanan arnab yang diberi. Kemudian apabila menginjak usia matang, Luna dipasangkan dengan Marc Klien, seekor mini rex tort. Diharapkan pasangan ini mampu membiakbakakan mini rex disini. Sayangnya, tanpa sebarang baka yang diperturunkan dan sedang berada dalam keadaan sarat bunting (due date), Luna mati tanpa sempat melahirkan. Walaupun sayasukaarnab membawanya berjumpa dengan vet (biar pun ketika itu klinik haiwan telah pun tutup dan memerlukan sayasukaarnab mencari dan mengetuk rumah vet), tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi. Tubuh Luna telah pun terkujur kaku.

Biarpun ajal yang bakal menimpa Luna ini seakan dapat dihidu sayasukaarnab sedari awal, namun sayasukaarnab tetap menjaga Luna sebaik yang mungkin. Pada 24 Mac 2012, Luna telah menunjukkan tanda-tanda due date iaitu tidak mahu makan dan asyik berehat. Bagi sayasukaarnab itu sememangnya suatu kemestian bagi arnab yang menanti masa untuk melahirkan anak. Namun hari berganti hari, sehingga ke tanggal 26 Mac 2012 Luna masih tidak melahirkan anak dan tidak mahu menjamah sebarang makanan sehinggakan tubuhnya semakin kurus mencekung. Paling ketara adalah pada tubuhnya yang dahulu munggil, kini kurus (sehingga dapat dilihat ruas-ruas tulang selangkanya) dengan perut yang memboyot. Akhirnya, sayasukaarnab mengambil keputusan untuk menyuapkan oat yang dibancuh menggunakan picagari kepada Luna.

Diharapkan, sekurang-kurangnya dengan adanya oat ini dapat membekalkan tenaga kepada Luna agar terus bertahan sehingga melahirkan anak. Tidak kira siang dan malam, Luna sentiasa akan dipastikan mendapat oat yang secukupnya. Bangun sahaja daripada tidur, sangkar Lunalah yang akan dituju dahulu. Puas Luna dibelek itu dan ini diberikan itu dan ini, barulah sayasukaarnab lakukan rutin kerja seperti selalu. Pulang daripada sekolah, sangkar Luna jugalah yang dituju. Usai dibelek dan diberikan makan, barulah sayasukaarnab lakukan tugas lain. Setiap sejam sekali, sayasukaarnab pasti akan menjengah sangkar Luna untuk memastikan Luna berada dalam keadaan yang baik. Tengah malam sebelum sayasukaarnab tidur, Luna jugalah yang dilihat dahulu. Boleh dikatakan pada hari-hari terakhir Luna di rumah ini, rutin hidup sayasukaarnab telah berubah. Luna menjadi keutamaan, segala-galanya tentang dia. Namun sudah ketentuan-Nya, Luna pergi juga tanpa sempat melahirkan anak. Pada saat Luna ingin pergi, tiada apa-apa lagi yang diharapkan sayasukaarnab selain mahu melihat dia pergi dengan keadaan yang aman dan tenteram. Biarlah jasad Luna disemadi, namun segala sejarah Luna akan terus terpahat disini. Semoga Luna bersemadi dengan tenang di sana.

Video berikut merupakan momen terakhir Luna Verushka Duchess bersama sayasukaarnab. Perut Luna yang sarat dapat dilihat dengan jelas kerana rakaman ini dilakukan pada malam sebelum Luna menemui ajalnya.

Setidak-tidaknya dengan adanya video ini, terubatlah rindu sayasukaarnab pada Luna kelak. Sayonara Luna =(


*Terima kasih yang tidak terhingga kepada para blogger dan penternak arnab yang sudi menjadi tempat rujukan sayasukaarnab sepanjang proses merawat Luna. Semoga dengan adanya bantuan daripada kalian akan dapat membantu sayasukaarnab untuk menjadi pencinta arnab yang lebih berkualiti dan tabah kelak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...